KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) — Axiata Group Bhd, Dialog Axiata PLC, and Bharti Airtel Ltd hari ini memeterai perjanjian muktamad bagi menggabungkan operasi di Sri Lanka, termasuk pengambilalihan keseluruhan saham-saham terbitan Bharti Airtel Lanka (Pte) Ltd.
Menerusi kenyataan bersama, pihak terbabit turut mengumumkan bahawa Dialog akan mengambil alih 100 peratus saham terbitan Airtel Lanka, anak syarikat milik penuh Bharti Airtel, dengan menerbitkan saham biasa sebanyak 10.355 peratus daripada jumlah saham terbitan kepada Bharti Airtel.
Urus niaga itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan kalangan pemegang saham Dialog dan menunggu pemuktamadan syarat-syarat tertentu yang digariskan dalam perjanjian jualan saham itu.
Menurutnya, ini termasuk kelulusan daripada Bursa Saham Colombo (CSE) dan selesainya prosedur pematuhan undang-undang, korporat dan kawal selia lain yang berkaitan.
Pihak Suruhanjaya Kawal Selia Telekomunikasi Sri Lanka (TRCSL) telah memberi kelulusan bagi cadangan penggabungan itu, sekali gus menekankan visi dalam melonjakkan penerimagunaan perkhidmatan telekomunikasi di serata Sri Lanka.
“Langkah penyatuan itu akan membolehkan entiti digabungkan meraih skala ekonomi, mengurangkan pertindihan infrastruktur, mencapai sinergi dalam teknologi serta perbelanjaan modal yang dapat meningkatkan ketersambungan jalur lebar berkelajuan tinggi, perkhidmatan suara dan nilai tambah, penjimatan kos serta kecekapan operasi,” kata kenyataan itu.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Axiata Vivek Sood menyifatkan penggabungan Dialog dan Airtel Lanka itu sejajar dengan strategi Axiata membabitkan aspek penyatuan serta daya tahan pasaran.
“Penggabungan ini akan menyuntik nilai bagi pemegang saham Dialog Axiata PLC dan Axiata Group menerusi sinergi yang mampu dicapai.
“Kami memandang tinggi terhadap Airtel Lanka serta kakitangannya dan teruja untuk bekerjasama seiring usaha integrasi kedua-dua syarikat,” katanya.
Selain itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bharti Airtel Limited Gopal Vittal yakin terhadap keupayaan Dialog serta cadangan unik berkenaan dan memberi jaminan bahawa pelanggan akan terus menikmati perkhidmatan lebih maju menerusi rangkaian yang lancar.
— BERNAMA




