KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) — Kitacon Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Kitacon Bhd (Kitacon), telah memperoleh surat lantikan (LOA) daripada Sime Darby Property (City of Elmina) Sdn Bhd pada 1 April, 2024, membabitkan kontrak pembinaan bangunan utama bernilai RM80.98 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Kitacon berkata projek itu melibatkan pembinaan dan penyiapan 126 unit kediaman dan satu unit pencawang Tenaga Nasional Bhd di Elmina West, Shah Alam, Selangor.
“Tarikh mula kontrak itu adalah pada 22 April, 2024 dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan daripada tarikh berkenaan,” katanya.
Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif ke atas terhadap pendapatan serta aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 dan berikutnya sehingga tamat kontrak.
— BERNAMA