KUALA TERENGGANU, 2 April (Bernama) — Bekas speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Golden Pharos Bhd (GPB) yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Roslan Mamat berkata pihaknya yakin Yahaya bersama ahli-ahli lembaga pengarah yang dilantik akan membantu melonjakkan lagi prestasi anak syarikat berkaitan kerajaan Terengganu yang terlibat dalam industri perkayuan itu, secara bersepadu.
Beliau berkata pelantikan Yahaya yang diumumkan dalam kenyataan Bursa Malaysia semalam bagi menggantikan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar yang memegang jawatan tersebut sejak 1 Ogos 2018.
“Lima orang ahli Lembaga pengarah yang lama kekal menjadi ahli manakala tiga ahli baharu telah dilantik termasuk bekas ketua pegawai eksekutif, Dr Mohd Zaki Hamzah,” kata Mohd Roslan dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Datuk Dr Yahya Ibrahim juga dilantik sebagai ahli Lembaga pengarah GPB yang baharu bagi menggantikan Mohd Badarudin Ismail yang turut meletakkan jawatan.
“Syarikat mengalu-alukan lantikan baharu ini dan mengharapkan agar mereka dapat membawa syarikat ke arah hala tuju yang lebih baik dan berdaya saing, sesuai dengan kedudukan syarikat yang tersenarai dalam papan utama Bursa Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengharapkan agar hala tuju syarikat dapat dipandu oleh Yahya yang berpengalaman luas dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta perkhidmatan awam.
Rombakan ahli lembaga pengarah syarikat itu juga merupakan salah satu daripada proses penstrukturan semula, selari dengan polisi kerajaan negeri yang baharu, katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Tengku Hassan serta ahli lembaga pengarah yang lain di atas jasa dan sumbangan mereka dalam memajukan syarikat.
— BERNAMA