KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) — K-One Technology Bhd merancang mempelbagaikan perniagaan sedia ada untuk meneroka bidang pengedaran dan penjualan produk penjagaan kesihatan.
Syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kumpulan itu secara berperingkat telah menerima pelantikan daripada pengeluar asing sebagai wakil sah untuk mengedarkan produk penjagaan kesihatan di Malaysia.
“Kumpulan mahu meningkatkan perniagaan produk penjagaan kesihatannya, ini dijangkakan akan menyumbang 25 peratus atau lebih daripada keuntungan bersih kumpulan dan/atau mengakibatkan lencongan lebih daripada 25 peratus daripada aset bersih kumpulan, ” katanya.
K-One bergantung terutamanya pada perniagaan terasnya iaitu automotif, industri serta industri elektronik pengguna (EMS), yang secara konsisten menyumbang kira-kira 55 peratus daripada jumlah hasil untuk tiga tahun sehingga tahun kewangan 2023, manakala baki 45 peratus diperoleh daripada Perniagaan Awan.
“Kedudukan kumpulan yang agak merugikan sekarang ini adalah disebabkan oleh perniagaan EMS yang terjejas oleh permintaan pengguna yang lemah berikutan pandemik COVID-19, dan peningkatan dalam kos logistik serta cip elektronik akibat gangguan rantaian bekalan yang berpunca daripada konflik Rusia-Ukraine.
“Dengan perkara-perkara yang telah dinyatakan, kumpulan itu mengubah perniagaannya dan mencatatkan keuntungan pada tahun kewangan 2023 berikutan sumbangan oleh Perniagaan Awan,” kata kumpulan itu.
— BERNAMA




