KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) — Unit tidak langsung MISC Bhd memperoleh kontrak penyewaan jangka panjang bagi tiga kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) baharu.
Menurut MISC anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Polaris LNG Five Pte Ltd, Polaris LNG Six Pte Ltd dan Polaris LNG Seven Pte Ltd, menandatangani perjanjian penyewaan kapal dengan QatarEnergy, syarikat tenaga milik negara Qatar.
“Kapal ini akan dibina oleh Samsung Heavy Industries Co Ltd,” menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin.
Tanpa mendedahkan nilai kontrak, MISC berkata QatarEnergy akan menyewa kapal itu untuk tempoh 15 tahun dari 2026 dan seterusnya.
“Kontrak itu tidak menjejaskan modal saham terbitan dan modal berbayar serta pegangan saham utama dalam MISC di samping dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ketara terhadap keuntungan sesaham, tahap kadar hutang dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024,” tambahnya.
— BERNAMA