KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) — Kerugian bersih Sapura Energy Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 berkurangan dengan ketara kepada RM508.66 juta daripada RM3.16 bilion pada tahun kewangan 2023 disebabkan peruntukan lebih rendah untuk susut nilai.
Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pada tahun semasa, kumpulan itu tidak membuat peruntukan untuk susut nilai terhadap penyatuan (tahun kewangan 2023: RM1.46 bilion) tetapi telah membuat peruntukan bagi susut nilai ke atas hartanah, loji. dan peralatan sebanyak RM25.8 juta (tahun kewangan 2023: RM1.16 bilion).
Syarikat itu mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak 6.5 peratus kepada RM4.26 bilion daripada RM4.55 bilion sebelumnya, susulan daripada hasil lebih rendah dicatatkan oleh segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C).
Bagi suku keempat 2024, syarikat mengurangkan kerugian kepada RM728.44 juta daripada RM3.26 bilion, manakala hasil merosot kepada RM1.06 bilion daripada RM1.22 bilion pada suku yang sama tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy Datuk Mohd Anuar Taib berkata kumpulan itu komited terhadap pemulihan operasinya dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan, meningkatkan hubungan pelanggan dan memupuk kerjasama yang lebih erat dengan pelanggan, rakan kongsi dan vendor.
“Walaupun terdapat cabaran ketika proses penstrukturan semula yang kini sedang berjalan, kami berazam untuk memajukan pencapaian strategi “reset” syarikat dan mengukuhkan lagi kedudukan pasaran Sapura Energy,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, nilai perolehan kontrak kumpulan itu kini berjumlah RM5 bilion, manakala nilai perolehan kontrak dipegang oleh syarikat usaha sama dan entiti bersekutu kumpulan itu berjumlah RM3 bilion.
Dalam pada itu, segmen E&C dan operasi dan penyelenggaraan (O&M) syarikat itu sedang giat untuk mendapatkan beberapa prospek, menumpukan pada fabrikasi, pengangkutan dan pemasangan serta pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan dasar laut.
“Kumpulan itu juga akan meneroka peluang dalam projek peralihan tenaga termasuk penyahtauliahan luar pesisir,” katanya.
— BERNAMA




