KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) — Anak syarikat milik penuh TCS Group Holdings Bhd, TCS Construction Sdn Bhd (TCSCSB) memperoleh kontrak bernilai RM140.27 juta daripada KLK Retail Centre Sdn Bhd (KLKRC) bagi kerja-kerja binaan bangunan utama untuk cadangan kompleks komersial yang dikenali sebagai Bandar Seri Coalfields Retail Park di Bandar Seri Coalfields, Selangor.
KLKRC merupakan anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK).
TCS menerusi makluman kepada Bursa Malaysia berkata tempoh kontrak secara keseluruhannya meliputi sembilan belas bulan dari tarikh permulaan hingga kerja-kerja selesai pada 24 Okt, 2025.
Penyedia perkhidmatan pembinaan itu berkata penerimaan surat lantikan (LOA) itu sejajar dengan pengembangan perniagaan syarikat untuk meningkatkan hasil.
“Kumpulan berpendapat LOA itu akan meningkatkan nilai perolehan kontrak semasa dan mengukuhkan arus pendapatan bagi tahun-tahun kewangan akan datang,” katanya.
Pengarah Urusan TCS, Datuk Tee Chai Seng berkata kumpulan itu positif terhadap prospek industri pembinaan pada masa depan.
“Ini disokong oleh infrastruktur yang strategik, projek utiliti dan kemajuan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025),” katanya dalam kenyataan tersebut.
LOA itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan tahap kadar hutang kumpulan pada masa depan.
— BERNAMA




