KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) — Borderless Connection Sdn Bhd (BCSB), anak syarikat Binasat Communications Bhd, berjaya memperoleh kontrak Tenaga Nasional Bhd bernilai RM58.26 juta untuk membekal dan memasang kabel litar berkembar bawah tanah untuk pencawang masuk utama Titiwangsa ke Genting Kelang, dan dari Genting Kelang ke Kampung Lanjut .
BCSB, anak syarikat 51 peratus milik Binasat Communications Bhd, bekerjasama dengan Binalite Electrical Engineering Sdn Bhd (BEESB) untuk menjayakan kontrak itu, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Kontrak itu berkuat kuasa dari tarikh surat penerimaan (bertarikh 27 Feb, 2024). Masa untuk menyiapkan kontrak hendaklah selama 910 hari dari tarikh ia bermula.
“Tiada peruntukan untuk lanjutan atau pembaharuan kontrak dalam surat penerimaan,” katanya.
Kontrak itu juga tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih dan penggearan kumpulan bagi tahun kewangan 2024. Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang kontrak berlangsung.
— BERNAMA