KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Kerugian bersih Top Glove Corporation Bhd berkurangan kepada RM51.20 juta pada suku kedua berakhir 29 Februari, 2024 daripada RM164.67 juta setahun sebelumnya disebabkan aliran meningkat dalam pesanan jualan.
Bagaimanapun, hasil bagi suku tersebut menurun 11 peratus kepada RM550.33 juta daripada RM618.01 juta sebelumnya.
Bagi separuh tahun pertama, kumpulan itu menurunkan kerugian bersihnya kepada RM108.91 juta daripada RM332.90 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya manakala hasil turun kepada RM1.04 bilion daripada RM1.25 bilion, kata pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Pemulihan secara beransur-ansur kumpulan itu didorong oleh pertumbuhan volum jualan yang lebih kukuh apabila pelanggan membuat pesanan baharu berikutan kehabisan inventori berlebihan.
“Aliran menaik dalam pesanan jualan dirangsang lagi oleh jurang harga yang semakin mengecil yang menyaksikan Top Glove mencapai pariti dalam harga jualan purata (ASP) dengan negara serantau,” katanya.
Top Glove berkata peningkatan dalam tempahan yang melonjakkan penggunaan pengeluaran, menghasilkan peningkatan pengeluaran dan kecekapan kos, memberi kesan positif kepada keuntungan.
“Inisiatif pengoptimuman kualiti dan kos yang berterusan, ditambah dengan peningkatan operasi yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Top Glove juga menyokong set keputusan kumpulan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusannya Lim Cheong Guan berkata permintaan sarung tangan yang kukuh terus dicatatkan pada Mac 2024, satu petunjuk yang baik bahawa pelanggan akan kembali untuk menambah stok mereka yang telah habis.
“ASP kami telah dilaraskan untuk mencerminkan harga bahan mentah yang lebih tinggi pada suku kedua tahun kewangan 2024.
“Jurang harga jualan yang lebih kecil antara pengeluar Malaysia dan asing memberikan pelanggan pilihan yang lebih baik untuk pesanan penyumberan luar kepada pengeluar sarung tangan Malaysia.
“Dengan jurang harga yang mengecil, kemampanan mungkin menjadi pertimbangan pelanggan apabila memilih pengeluar sarung tangan,” katanya semasa taklimat keputusan kewangan yang diadakan secara dalam talian syarikat itu hari ini.
Beliau berkata harga lateks pekat dijangka berkurangan pada Mei 2024 dan juga harga lateks nitril pada Jun 2024.
“Ketakpadanan ASP dan kos bahan mentah akan memberi kelebihan kepada kami apabila trend harga bahan mentah menurun,” katanya.
Lim berkata beliau yakin dengan keupayaan Top Glove untuk mengekalkan trajektori positif dan kembali meraih keuntungan pada separuh kedua tahun ini.
“Kami terus melihat tanda-tanda pasaran akan meningkat semula dan percaya perniagaan kami akan kembali normal dalam masa terdekat apabila asas industri sarung tangan kekal kukuh dan tidak berubah.
“Kami kekal fokus untuk melaksanakan inisiatif strategik kami untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan kos kami sambil memanfaatkan kekuatan Top Glove untuk memanfaatkan peluang yang muncul,” katanya.
— BERNAMA




