KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Syarikat tenaga boleh baharu Belanda, Maatschappij Wilhelmina NV (Wilhelmina) bekerjasama dengan Ecoscience International Bhd (EIB) untuk membina dan mengurus kilang pelet hitam TG2 bernilai US$60 juta (RM283.86 juta) di Kawasan Perindustrian Gebeng Fasa III, Kuantan, Pahang.
Menerusi kerjasama itu, Wilhelmina akan membiayai, memiliki dan mengendalikan kilang tersebut, manakala Ecoscience akan menjalankan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC).
Perjanjian pengilangan induk dan EPC antara kedua-dua syarikat itu dijangka selesai pada suku keempat 2024.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Wilhelmina Barthold Van Doorn berkata kilang itu akan mengambil masa sehingga 18 bulan untuk disiapkan, dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula menjelang suku keempat 2024.
Setelah siap, Ecoscience akan mengendalikan, menyelenggara dan mengurus kilang tersebut bagi pihak Wilhelmina, katanya.
Menurut Van Doorn kilang berkenaan akan menjadi yang pertama di dunia menghasilkan pelet hitam menggunakan tandan buah kosong (EFB) sebagai bahan mentah bagi menghasilkan bahan api yang mampan terhadap alam sekitar.
Beliau memilh Malaysia sebagai lokasi pertama kilang itu kerana negara menjana hampir 20 juta tan sisa EFB setahun.
“Daripada membiarkan EFB mereput di tapak pelupusan, ia boleh diolah menjadi pengganti arang batu yang lebih bersih dan bertenaga tinggi, mengurangkan sehingga 12 juta tan metana, bersamaan dengan 300 juta tan karbon dioksida,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu di sini hari ini.
Syarikat itu turut melihat potensi beberapa lokasi di negara lain, seperti Jepun, Indonesia dan Kemboja untuk mewujudkan lebih banyak loji pelet hitam TG2 menggunakan sisa pertanian seperti sabut kelapa dan kayu pokok getah.
Sementara itu, Pengerusi EIB Datuk Tan Yee Boon berkata kemampanan adalah penting bagi tujuan memelihara ekosistem dan memastikan kesejahteraan generasi akan datang dalam menghadapi perubahan iklim dan penyusutan sumber.
“Oleh itu, kami berbangga dapat memainkan peranan utama dalam pembinaan kilang pelet hitam TG2 ini, mencerminkan komitmen kami terhadap pengeluaran tenaga mampan dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” katanya.
— BERNAMA