GEORGE TOWN, 18 Mac (Bernama) — Pengeluar peralatan ujian automatik, QES Group Bhd berkata kilang QES 2@BKIP miliknya yang berharga RM40 juta, membuktikan komitmen syarikat itu dalam melaksanakan amalan dan inovasi yang mampan, seiring dengan visi Malaysia untuk menjadi peneraju dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) di Asia Tenggara.
Kilang baharu yang terletak di Batu Kawan Industrial Park (BKIP) itu menggunakan tenaga solar sebagai sumber boleh diperbaharui bagi mengurangkan pergantungan kepada elektrik konvensional, katanya dalam satu kenyataan.
“QES 2@BKIP direka untuk meminimumkan impak alam sekitar dan berintegrasi dengan persekitarannya, bertujuan untuk mencapai pensijilan bangunan hijau dengan menggunakan bahan mesra alam dan melaksanakan penyelesaian tenaga boleh baharu.
“Projek ini dijangka mewujudkan 100 pekerjaan berkualiti tinggi dalam tempoh tiga tahun,” katanya.
Pengarah Urusan QES Group Chew Ne Weng berkata kumpulan itu yakin QES 2@BKIP akan mengukuhkan lagi operasi kumpulan dan memupuk usahanya untuk pertumbuhan dan kejayaan.
Kilang itu akan menempatkan syarikat usaha samanya, Applied Engineering Technology (M) Sdn Bhd (AETM) dengan Applied Engineering Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Penempatan itu akan meluaskan ruang kilang AETM, berbanding kemudahan sewa semasanya yang berkeluasan 18,000 kaki persegi kepada kira-kira 30,000 kaki persegi, dan meningkatkan keperluan tenaga kerjanya dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Dengan memberikan tumpuan kepada prinsip ESG, QES bersedia meletakkan syarikat sebagai peneraju dalam industri semikonduktor dan visi Malaysia untuk masa depan yang mampan,” kata Chew.
Dalam kenyataan itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 menerangkan dengan jelas perjalanan pembaharuan perindustrian Malaysia ke arah mencapai kerumitan ekonomi yang lebih tinggi, kehebatan teknologi, kemampanan, serta sebagai keterangkuman ekonomi.
Beliau berkata penumpuan dua atau lebih objektif ini melalui sektor sasaran NIMP akan membantu mempercepatkan pembaharuan perindustrian Malaysia.
“Kami melihat ciri-ciri ini dalam kilang QES yang akan datang menerusi pembuatan semikonduktor berteknologi tinggi yang inovatif memenuhi kemampanan.
“Penumpuan sebegini juga akan membantu sektor perkilangan Malaysia meningkatkan rantaian nilai global dengan lebih cepat, sambil mewujudkan pekerjaan bergaji lebih baik untuk rakyat dan menyumbang kepada masa depan sifar bersih,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata matlamat kemampanan QES bersesuaian dengan trend semasa syarikat dan pelabur yang mengutamakan ESG.
Beliau berkata dengan ESG sebagai keutamaan, kerjasama adalah penting untuk firma semikonduktor mencapai kemajuan dalam penyahkarbonan.
“MIDA menyokong penuh usaha tersebut, mengiktiraf potensi mereka untuk bukan sahaja menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi tetapi juga membentuk masa depan yang lebih mampan untuk generasi akan datang,” katanya.
— BERNAMA
TAG: MIDA, MITI, semikonduktor, ESG, QES Group Bhd