KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) — Duopharma Biotech Bhd (Duopharma Biotech) bekerjasama dengan Centre for Affordable Diagnostics and Therapeutics Ltd (CADT) yang beribu pejabat di United Kingdom dan PAMOJA Therapeutics BV dari Netherlands bagi penyelidikan dalam penggunaan semula ubat.
Duopharma Biotech dalam kenyataan hari ini berkata penyelidikan itu melibatkan pengilangan Produk Perubatan Percubaan (IMP) untuk ujian klinikal di Malaysia dan pengkomersialan berikutnya.
Melalui kerjasama ini, Duopharma Biotech dan CADT mencari peluang untuk meneroka bidang berpotensi bagi kerjasama bersama dan kerjasama teknikal dalam penggunaan semula ubat dan bidang strategik lain dalam skop diagnostik dan terapeutik mampu milik terhadap banyak penyakit.
Pengarah Urusan kumpulan Duopharma Biotech Leonard Ariff Abdul Shatar berkata pihaknya percaya bahawa penyelidikan untuk memperluas manfaat produk farmaseutikal yang dipercayai merupakan satu kaedah untuk memastikan pesakit berpeluang mempunyai lebih banyak alternatif untuk dipilih dalam jangka masa lebih singkat.
“Selain itu, terdapat lebih banyak kaedah untuk mengeluarkan produk farmaseutikal yang digunakan secara meluas seperti artesunat, yang berupaya menyumbang kepada peningkatan akses pilihan rawatan, seiring dengan tumpuan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus kami bagi meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan,” katanya.
Sementara itu, MoU antara Duopharma dan PAMOJA bertujuan meneroka kerjasama dalam pembuatan produk farmaseutikal untuk penggunaan semula.
Syarikat itu secara umumnya akan bekerjasama dengan PAMOJA dalam pembuatan artesunat untuk ujian klinikal terhadap penggunaan artesunat dalam indikasi baharu di Malaysia.
— BERNAMA




