KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) — Bahagian awam untuk tawaran awam permulaan (IPO) Zantat Holdings Bhd telah terlebih langgan sebanyak 130.15 kali.
Syarikat itu berkata sebanyak 13,755 permohonan untuk 1.84 bilion saham baharu yang bernilai RM459.01 juta telah diterima daripada warga Malaysia bagi 14 juta saham baharu yang disediakan untuk langganan awam.
Dalam satu kenyataan hari ini, Zantat yang merupakan pengeluar serbuk kalsium karbonat gred tinggi itu berkata bahagian saham awam Bumiputera telah terlebih langgan sebanyak 137.99 kali manakala bahagian awam bukan Bumiputera juga terlebih langgan sebanyak 122.30 kali.
Pengarah Urusan Ivan Chan berkata dengan dana daripada IPO itu, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan rancangan pengembangannya dan memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam industri kalsium karbonat dan produk-produk terbiodegradasikan.
Beliau berkata syarikat itu akan menggunakan hasil daripada IPO untuk mengembangkan barisan pengeluaran kalsium karbonat, serta menaik taraf kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedia ada di Kilang 1 Zantat di Perak.
“Dengan pusat R&D yang dinaik taraf dan keupayaan pengujian yang dipertingkatkan, kami akan menumpukan pada pembangunan produk dalaman kami dan meningkatkan produk kami untuk pelanggan-pelanggan baharu dan sedia ada tentang produk-produk kalsium karbonat kami, dan juga usaha perniagaan hiliran baharu kami, iaitu pengkompaunan bioplastik yang dijalankan oleh ZANECO yang mana ia diperbadankan pada tahun 2021.
“Sebagai sebahagian daripada strategi kami untuk mengembangkan aplikasi rangkaian produk kami, kami berhasrat untuk membangunkan lebih banyak jenis fungsian gred kalsium karbonat dan sebatian bioplastik yang boleh menyumbang kepada mewujudkan dunia yang lebih hijau. Pengembangan kami ke dalam pengkompaunan bioplastik disokong oleh komitmen kerajaan Malaysia terhadap ekonomi pekeliling dan kemampanan,” tambahnya.
Zantat, yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 27 Mac, 2024, menyasarkan untuk mengumpul RM14 juta daripada IPO berkenaan.
Di bawah penyenaraian itu, Zantat menerbitkan 56 juta saham baharu, mewakili 20 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan pada harga terbitan 25 sen sesaham.
Sebagai sebahagian daripada penyenaraiannya, pemegang saham sedia ada juga akan membuat tawaran untuk penjualan 16.8 juta saham sedia ada kepada pelabur-pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 280 juta saham, Zantat dijangka memiliki permodalan pasaran sebanyak RM70 juta selepas penyenaraian.
— BERNAMA




![Saham Kajian: NexG Raih Lanjutan Kontrak Dari KDN [8 Julai 2025]](https://thekapital.my/wp-content/uploads/2025/07/250708-TheKapital-Featured-NexG-360x180.jpg)