Earning Season atau musim pendapatan merupakan musim di mana syarikat-syarikat yang didagangkan di pasaran saham akan mengemukakan laporan pendapatan suku tahunan mereka. Para pelabur pastinya akan menantikan musim ini kerana ia mampu memberi kesan terhadap saham yang didagangkan. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka memiliki saham tersebut.
Baca: Kenapa Anda Kena Peka Dengan Earnings Season?
Baru-baru ini, penulis berpeluang untuk menghadiri taklimat yang diadakan untuk membentangkan pendapatan suku tahunan mereka. Syarikat tersebut adalah Synergy House Berhad.

Latar Belakang Perniagaan
Synergy House Bhd merupakan syarikat penjual e-dagang rentas sempadan dan pengeksport perabot rumah sedia untuk dipasang (RTA). Maka syarikat ini dikategorikan di bawah sektor servis & produk konsumer.
Untuk makluman anda, Synergy tidak menghasilkan produk mereka di kilang sendiri tetapi sebenarnya dihasilkan oleh pihak ketiga. Synergy hanya menghantar reka bentuk yang dimahukan kepada pengeluar dan pihak kilang akan menghasilkan perabot rumah bagi syarikat tersebut.
Bagaimana Synergy Menjual Produknya?
Untuk mengharungi arus globalisasi yang semakin moden ini, Synergy memasarkan produknya di kedai atas taliannya iaitu Synergy Tomato.
Lihat produk mereka di sini : Synergy Tomato
Selain itu, mereka juga memasarkan produknya di platform e-dagang pihak ketiga yang terkenal seperti Shopee, Lazada, Amazon dan banyak lagi.

Sasaran Pelanggan
Sasaran pelanggannya terdiri daripada para pelajar dan pasangan muda di negara seperti Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Jerman kerana terdapat permintaan yang tinggi dari negara-negara ini. Segmen pelanggannya lebih muda serta lebih arif menggunakan teknologi maka tidak hairan mereka hanya menjual produknya di atas talian.
Prestasi Pendapatan Suku Keempat Tahun 2023
Pendapatan (Revenue)
Bagi suku keempat tahun 2023, Synergy berjaya menjana pendapatan RM90.77 juta. Ia merupakan peningkatan sebanyak 31.09% berbanding suku sebelumnya iaitu RM69.25 juta. Pendapatan Kumpulan Synergy dibahagikan kepada dua iaitu segmen Business to Business (B2B) dan Business to Consumer (B2C). Segmen B2B merekodkan RM46.2 juta, 50.88% dari keseluruhan jumlah pendapatan yang diperolehi manakala segmen B2C merekodkan pendapatan RM44.6 juta, 49.12%.
Amerika Syarikat merupakan pasaran terbesar Synergy menyumbang sebanyak 61% dari pendapatan bagi kewangan suku keempat 2023. Sebahagian besar pendapatan dari Amerika adalah dari penjualan di segmen B2C.
Keuntungan Bersih Selepas Cukai (PAT)
Jika dibandingkan dengan suku sebelumnya, keuntungan bersih direkodkan pada RM10.27 juta, naik 27.32%.
Strategi 2024
- Terus berkembang di platform B2C serta kehadiran di negara baru contohnya Perancis
- Mereka bentuk dan menjual produk baru
- Meningkatkan penggunaan teknologi serta Artificial Intelligence (AI)
Risiko
Antara risiko yang dihadapi adalah kebergantungan kepada pengilang pihak ketiga, ketiadaan kontrak jangka panjang dengan pelanggan perniagaan kepada perniagaan (B2B), risiko persaingan dan pendedahan yang tinggi kepada perubahan mata wang asing.
Prestasi Sejak IPO
Synergy disenaraikan pada 1 Jun 2023. Harga IPO yang ditawarkan adalah RM0.43.

Walaubagaimanapun Synergy ditutup pada 35 sen pada hari pertama didagangkan di pasaran Ace. Berapakah harga terkini Synergy?

Berdasarkan pada harga yang diambil pada 8 Mac 2024, harga Synergy adalah RM0.85, iaitu 42 sen lebih tinggi dari harga IPO.
Kenaikan sebanyak 42 sen tersebut menyaksikan Synergy telah meningkat sebanyak 97.67% daripada harga IPO.
Jika dibandingkan dengan harga penutupan hari pertama pula, Synergy telah naik sebanyak 50 sen atau 142.86%.
Menurut anda adakah Synergy masih boleh meneruskan kenaikannya?