KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — Maxis Bhd dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam program mempercepat penerimagunaan 5G-Advanced (5.5G).
Kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata kerjasama berkenaan merangkumi pelbagai bidang untuk memacu pengkomersialan dan penggunaan 5.5G di Malaysia, merangkumi kes-kes penggunaan, teknologi utama, evolusi teknologi dan ekosistem.
MoU itu telah dimeterai di Kongres Mudah Alih Dunia 2024 di Barcelona, Sepanyol, baru-baru ini, dengan disaksikan Menteri Komunikasi Malaysia Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Menurut kenyataan tersebut, kedua-dua syarikat itu juga akan meneroka inisiatif bagi menggalakkan penggunaan serta pemindahan kepada 5.5G dan turut menampilkan kelebihan sistem itu dari hujung ke hujung melalui percubaan dan pengujian teknologi termasuk kebolehsuaian, keselamatan dan keteguhan.
“Pada masa yang sama, kedua-dua syarikat akan memanfaatkan cerapan rangkaian 5.5G untuk mengenal pasti peluang-peluang dalam penyelesaian dan pengoptimuman perniagaan didayakan oleh 5G dan 5.5G, memfokuskan kepada pengguna dan perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis Goh Seow Eng berkata syarikat itu mengalu-alukan peluang untuk membangunkan penyelesaian berkesan dengan memanfaatkan teknologi 5.5G. Ini termasuk peningkatan dalam kelajuan, kapasiti sambungan besar-besaran dan penambahbaikan dalam kependaman yang ditawarkan oleh 5.5G untuk menyediakan penyelesaian yang membawa faedah dan pengalaman pelanggan yang lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun berkata dengan kepakarannya yang terkenal di dunia dalam penyelidikan dan pembangunan serta teknologi inovatif, syarikat itu teruja untuk bekerjasama dengan Maxis bagi memperluaskan peluang komersial 5.5G.
“Ini akan menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia sebagai peneraju infrastruktur digital serantau, dan turut membuktikan bahawa kemudahan digital dan persekitaran kondusif di negara ini adalah antara yang terbaik untuk menarik dan mengekalkan minat pelabur asing,” katanya.
Kenyataan itu juga menyatakan Maxis dan Huawei akan mengkaji evolusi spektrum dan teknologi masa depan serta memberi cadangan selaras dengan kes-kes perniagaan dan kesediaan ekosistem, sejajar dengan dasar kerajaan untuk menyokong perkembangan 5.5G di negara ini.
— BERNAMA




