KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) — Unit MY E.G Services Bhd (MYEG), MY E.G. Capital Sdn Bhd membeli 14.57 juta saham atau 14.40 peratus kepentingan ekuiti dalam HeiTech Padu Bhd pada RM31.2 juta untuk meneroka kerjasama yang berpotensi dalam e-kerajaan.
Menurut MYEG pembelian saham itu dilakukan menerusi pasaran terbuka.
“Pembelian itu merupakan pelaburan strategik yang akan membolehkan syarikat meneroka kerjasama yang berpotensi dengan HeiTech untuk mewujudkan sinergi dengan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman kedua-dua pihak sebagai penyedia perkhidmatan e-kerajaan yang terkemuka,” jelasnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin.
Pembelian itu dijangka tidak menjejaskan keuntungan sesaham atau tahap kadar hutang bagi 2024, tambahnya.
— BERNAMA




