REMBAU, 8 Mac (Bernama) — Nestle Malaysia (Bhd) mengorak langkah ke hadapan dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dan mencapai kelestarian alam sekitar dengan loji janakuasa biojisim baharu yang mula beroperasi akhir tahun lepas di kilangnya di Chembong di sini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Juan Aranols berkata Nestle telah bekerjasama dengan rakan teknologi ENCO Systems Sdn Bhd untuk membangunkan dan memasang loji serba lengkap itu yang keseluruhannya bernilai RM18 juta.
Beliau berkata loji yang menggunakan tandan buah kosong (EFB) sawit dan tempurung isirung sawit sebagai sumber tenaga boleh baharu itu menggantikan bahan api fosil untuk menjana stim yang digunakan untuk proses pemanasan dalam operasi pengeluaran.
“Pendekatan ini adalah sebahagian daripada kitaran karbon semula jadi dan tidak menghasilkan pengeluaran karbon jangka panjang, menjadikannya neutral karbon.
“Usaha inovatif ini seterusnya dapat mengurangkan pengeluaran karbon dioksida bersih dengan ketara berbanding bahan api fosil dan turut membantu mengurangkan gas rumah hijau.
“Ini sekali gus mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau kilang iaitu sejumlah 14,000 tan setara setahun bersamaan pelepasan karbon hampir 3,000 kereta setahun. Ia juga secara langsung mengurangkan pencemaran, bahan buangan ke kambusan tanah dan melindungi sumber semula jadi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran loji janakuasa itu di sini hari ini, yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sementara itu, Aminuddin berkata kewujudan industri yang menggunakan teknologi hijau di Negeri Sembilan mencerminkan usaha kolektif ke arah kemampanan dan inovasi sekali gus mampu menjadikan negeri ini pusat perindustrian lestari.
Beliau berkata sekiranya lebih banyak industri bertukar kepada penggunaan teknologi tenaga hijau seperti yang dilakukan Nestle, maka kewujudan kawasan industri selepas ini tidak akan menjadi beban kepada alam sekitar pada masa akan datang.
“Kerajaan Negeri Sembilan juga sentiasa mengambil tindakan proaktif dengan memastikan segala perubahan dan perkembangan dalam sektor industri perlu dikenal pasti bagi menentukan dasar yang terbaik untuk manfaat rakyat negeri ini,” katanya.
Aminuddin berkata kerajaan negeri akan memastikan segala polisi dan dasar pada masa hadapan selari dengan kesan kelestarian alam sekitar sekiranya loji yang dibangunkan Nestle itu terbukti dapat memberikan impak yang baik kepada alam sekitar.
— BERNAMA




