KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) — Pengendali lebuh raya, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menyasarkan untuk mengumpul RM445.3 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) amanah perniagaan lebuh raya, Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT).
Prolintas Infra BT dijadual disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 25 Mac 2024 akan menjadi amanah perniagaan lebuh raya pertama Malaysia yang akan disenaraikan.
Menurut Prolintas pelaksanaan IPO itu merangkumi penyenaraian melalui struktur amanah perniagaan bagi empat lebuh raya utamanya yang matang iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam dan Lebuhraya Penyuraian Kajang.
IPO Prolintas Infra BT melibatkan tawaran untuk dijual oleh Prolintas sebanyak 539 juta unit sedia ada dalam Prolintas Infra BT (dengan andaian pilihan lebihan peruntukan dilaksanakan sepenuhnya), mewakili 49 peratus daripada jumlah unit yang dikeluarkan pada 95 sen setiap satu.
“Memandangkan Prolintas Infra BT tidak akan menerbitkan sebarang unit baharu untuk IPO, amanah itu tidak akan menerima sebarang hasil daripada IPO itu,” katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran prospektus hari ini.
Jumlah hasil kasar daripada tawaran untuk jualan berdasarkan harga institusi sehingga kira-kira RM445.3 juta akan terakru sepenuhnya kepada pemegang unit jualan, Prolintas.
Tempoh permohonan IPO Prolintas Infra BT bermula hari ini dan akan ditutup pukul 5 petang, pada 12 Mac 2024.
Mengenai penawaran institusi sehingga 422.95 juta saham, Prolintas berkata sebanyak 285.45 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan terpilih tidak termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Sehingga 137.50 juta unit diperuntukkan untuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI manakala baki tawaran sehingga 45.75 juta saham akan disediakan untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia melalui undian, diikuti oleh 18.25 juta saham yang dikhaskan untuk permohonan oleh orang yang layak,” khasnya.
Permodalan pasaran amanah itu berpotensi mencecah RM1.05 bilion selepas penyenaraian.
Menurut prospektus terdapat lapan pelabur asas yang terlibat iaitu Permodalan Nasional Bhd (PNB), AHAM Asset Management Bhd, AIIMAN Asset Management Sdn Bhd, Lembaga Tabung Haji, Maybank Asset Management Sdn Bhd, Maybank Islamic Asset Management Sdn Bhd, Kenanga Investors Berhad dan Kenanga Islamic Investors Bhd.
Sementara itu, Pengerusi Pengurus Pemegang Amanah Prolintas Managers Sdn Bhd, Datuk Ikmal Hijaz Hashim berkata latihan itu bertujuan untuk mempelbagaikan sumber pembiayaan Prolintas, dan meletakkan syarikat itu untuk memulakan inisiatif infrastruktur strategik masa depan.
“Pada masa sama, ia memberi peluang menarik kepada pelabur untuk mengambil bahagian dalam trajektori pertumbuhan berterusan Prolintas,” katanya pada majlis pelancaran prospektus itu.
AmInvestment Bank Bhd adalah penasihat utama bagi IPO serta penaja jamin bersama dan penaja jamin dengan CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd.
Selain itu, RHB Investment Bank Bhd juga merupakan penaja jamin bersama.
— BERNAMA