KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) — Keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) turun kepada RM1.69 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 daripada RM6.32 bilion dalam persekitaran mencabar untuk industri kimia global.
Hasil lebih rendah sedikit kepada RM28.67 bilion daripada RM28.95 bilion, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata: “Tahun kewangan 2023 merupakan tahun yang sukar untuk PCG di pasaran dan bahagian operasi.
“Ketika kami mengemudi pasaran bahan kimia yang sangat tidak menentu sepanjang tahun, secara dalaman, kami menghadapi gangguan di beberapa kilang kami yang membawa kepada prestasi lemah dalam segmen Olefin dan Derivatif (O&D) serta Baja dan Metanol (F&M) kami,” katanya.
Segmen Kepakaran terus dipengaruhi oleh pengurangan stok yang berpanjangan dan persaingan yang semakin sengit daripada pengeluar China.
Kumpulan itu berkata pertumbuhan ekonomi sederhana dan pemulihan China yang lebih perlahan daripada jangkaan memberi kesan kepada industri, membawa kepada permintaan produk lebih rendah dan harga lebih rendah.
Pada masa yang sama, ketegangan geopolitik mengekalkan harga tenaga yang tinggi, mengakibatkan kos bahan suapan yang lebih tinggi dan pemampatan margin.
Kumpulan itu mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.8 bilion, turun daripada RM6.3 bilion dicatatkan pada tahun kewangan 2022.
Sementara itu, penggunaan loji direkodkan pada 85 peratus berbanding 89 peratus tahun sebelumnya dalam menghadapi cabaran operasi serta beberapa pemulihan dan aktiviti penyelenggaraan yang dijalankan sepanjang tahun.
Bagi suku keempat tahun kewangan 2023, keuntungan bersih turun kepada RM112 juta daripada RM481 juta, di sebalik pendapatan yang lebih rendah sebanyak RM7.21 bilion berbanding RM8.70 bilion sebelumnya.
Mengenai prospek pasaran bahan kimia, Mazuin berkata cabaran yang dilihat pada tahun 2023 dijangka berlanjutan hingga 2024 kerana pemulihan ekonomi dijangka kekal perlahan tetapi, bagaimanapun wujud peluang dalam pelbagai sektor.
“Harga etilena dijangka mendapat sokongan pada akhir tahun apabila penggunaan bertambah baik dan mendorong permintaan untuk polietilena dalam aplikasi pembungkusan.
Dari segi F&M, harga urea diunjur stabil, disokong oleh musim penanaman di India dan sekatan eksport urea dari China.
“Harga metanol mungkin berkurangan kerana permintaan hiliran dijangka kekal rendah, begitu juga untuk bahan kimia khusus,” katanya.
Mazuin berkata industri kimia adalah industri kitaran dan menjangkakan kitaran menurun semasa akan berubah apabila permintaan mengejar bekalan.
Mengenai projek pertumbuhan, beliau berkata ujian prestasi sedang dijalankan di kemudahan petrokimia di Pengerang, Johor.
Sehubungan itu, PCG mahu memulakan operasi komersial di kilang baharu lain pada tahun ini, iaitu kilang melamin di Gurun, Kedah, kilang kimia khusus di Sayakha, India untuk pengeluaran pentaerythritol dan kalsium format serta pengembangan kilang 2-Ethylhexanoic Acid di Gebeng, Pahang melalui syarikat usaha sama, BASF PETRONAS Chemicals.
“Ketiga-tiga kemudahan ini dengan gabungan kapasiti tahunan kira-kira 130,000 tan metrik setahun, menunjukkan beberapa kejayaan dalam strategi serampang dua mata kami ke arah mencapai pertumbuhan yang mampan,” katanya.
PCG juga mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 5.0 sen sesaham berjumlah RM400 juta yang akan dibayar pada 26 Mac 2024.
Jumlah dividen yang diisytiharkan pada tahun kewangan 2023 berjumlah RM1.0 bilion, mewakili 61.3 peratus daripada PAT dan Kepentingan Bukan Kawalan (PATANCI).
— BERNAMA




