KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) — Keuntungan bersih Dayang Enterprise Holdings Bhd melonjak 81 peratus kepada RM218.92 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (TK2023) daripada RM121.20 juta yang dicatatkan semasa TK2022.
Perolehan yang lebih baik ini dicapai berikutan pengurangan caj susut nilai yang timbul daripada semakan jangka hayat Kapal Tunda Pembekalan Kendalian Sauh (AHTS), kata kumpulan perkhidmatan minyak dan gas huluan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pendapatan meningkat 13 peratus kepada RM1.11 bilion berbanding RM984.18 juta sebelum ini.
“Pendapatan dicatatkan lebih tinggi pada tahun semasa, walaupun kadar penggunaan kapal agak rendah sebanyak 58 peratus daripada 60 peratus yang dicapai pada tahun yang sama.
“Ini disebabkan oleh kenaikan dalam kadar sewa harian (DCR) dengan margin yang lebih baik daripada penyewaan kapal, peningkatan dalam penyewaan kapal pihak ketiga selain tempahan/pemberian kontrak yang lebih banyak daripada gergasi minyak pada tahun kewangan,” kata Dayang Enterprise.
Bagi suku keempat (S4) berakhir 31 Dis 2023, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih RM93.79 juta berbanding RM12.52 juta, manakala hasil melonjak 58 peratus kepada RM351.07 juta daripada RM222.29 juta sebelum ini.
Kumpulan itu juga mengisytiharkan dividen satu peringkat sebanyak 1.5 sen sesaham, dibayar pada 20 Disember.
Kenaikan perolehan yang dicapai pada S4 disebabkan kejayaan kumpulan menyelesaikan beberapa pesanan kerja tertunggak di bawah kontrak penyelenggaraan pelantar minyak, walaupun semasa di musim tengkujuh.
“DCR kapal yang bertambah baik dan peningkatan dalam penyewaan kapal pihak ketiga juga menyumbang kepada hasil yang lebih tinggi,” kata Dayang Enterprise.
Pada S4, kumpulan itu menumpukan pada perancangan termasuk strategi untuk kerja-kerja 2024 yang akan datang iaitu penyelenggaraan, pembinaan, pengubahsuaian, sambungan, pentauliahan dan projek Penemuan Integriti Aset yang baru diterima.
Kumpulan kapal perkhidmatan luar pesisir juga sedang menjalani penyelenggaraan rutin dan pembaharuan kelulusan sebagai persediaan untuk 2024.
Sehingga Disember 2023, anggaran kontrak pengeluaran tertunggak syarikat adalah berjumlah kira-kira RM1.9 bilion.
“Melangkah ke hadapan, kami akan mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti tender baharu sementara menunggu keputusan tender yang telah dikemukakan,” katanya.
— BERNAMA