KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) — Keuntungan bersih Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) bagi suku pertama berakhir 31 Dis, 2023 (suku pertama tahun kewangan 2024) menyusut kepada RM226.94 juta berbanding RM443.04 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.
Hasil pada suku pertamanya turut merosot kepada RM5.64 bilion daripada RM6.71 bilion sebelum itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata keuntungan sektor pembuatannya pada suku pertama menyusut dengan ketara sebanyak 90.1 peratus kepada RM25.3 juta daripada RM254.4 juta sebelumnya, manakala hasil merosot sebanyak 18.9 peratus kepada RM4.48 bilion daripada RM5.52 bilion setahun sebelum itu.
“Penurunan keuntungan disebabkan kerugian yang ditanggung oleh bahagian oleokimia, yang terjejas akibat margin keuntungan yang berkurangan, dan sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada operasi penapisan dan pemprosesan isirung,” katanya.
KLK berkata pendapatannya dalam sektor perladangan melonjak 11 peratus kepada RM370.4 juta pada suku dalam tinjauan daripada RM333.56 juta pada suku yang sama tahun lepas, dipacu oleh jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi, kos pengeluaran MSM yang lebih rendah dan keuntungan bersih RM1.0 juta daripada perubahan nilai saksama pada kontrak derivatif tertunggak.
“Bagaimanapun, ini sebahagiannya diimbangi oleh harga jualan MSM dan PK yang lebih rendah sebanyak 7.1 peratus berbanding tahun sebelumnya dan kerugian nilai saksama RM9.5 juta atas penilaian tandan buah segar yang belum dituai,” katanya.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata kebimbangan mengenai pengeluaran sawit yang rendah pada suku hadapan dan stok semasa musim Ramadan yang terhad berkemungkinan mengekalkan harga melebihi RM3,800 satu tan.
“Kumpulan kekal fokus untuk meningkatkan hasil melalui pelaksanaan strategi khusus di tapak bagi mengatasi pengurangan hasil utama di kawasan tertentu,” katanya.
KLK berkata subsegmen oleokimia mencatatkan penurunan dengan kerugian kira-kira RM9.3 juta dalam persekitaran permintaan yang lembap, kadar faedah yang tinggi dan ketegangan geopolitik yang berterusan yang memberi kesan kepada perdagangan global.
Kumpulan itu berkata jumlah jualan pada suku dalam tinjauan meningkat sedikit dan menyaksikan permintaan yang lebih kukuh di Eropah dan Asia Tenggara bagi suku kedua tahun kewangan 2024.
Ia akan memberi tumpuan kepada operasi kilang yang kurang berprestasi dan mengoptimumkan kedua-dua penggunaan dan kos bagi meningkatkan keuntungan.
“Dengan jangkaan pemulihan dalam segmen pembuatan, kumpulan itu optimistik dengan berhati-hati terhadap prospek kewangannya untuk tahun kewangan 2024,” katanya.
— BERNAMA