KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) — Amanah perniagaan lebuh raya pertama Malaysia yang akan disenaraikan, Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT), menyasarkan untuk melancar tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada suku pertama 2024 (S1 2024).
Dalam satu kenyataan hari ini, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) berkata IPO itu akan merangkumi penyenaraian melalui struktur amanah perniagaan yang terdiri daripada empat lebuh raya yang diperoleh daripada Prolintas oleh pengurus pemegang amanah, Prolintas Managers Sdn Bhd bagi pihak Prolintas Infra BT.
“Lebuh raya itu ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), dan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK),” katanya.
Syarikat pemegangan pelaburan itu berkata IPO berkenaan akan melibatkan tawaran jualan sebanyak 539 juta unit sedia ada dalam Prolintas Infra BT oleh Prolintas, mewakili 49 peratus daripada jumlah unit dalam terbitan.
Ia berkata penaja jamin bagi IPO itu akan dikendalikan oleh AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd, dan RHB Investment Bank Bhd (penaja jamin bersama).
“Penaja jamin bersama telah bersetuju untuk menaja jamin tawaran runcit sebanyak 45.75 juta unit IPO, mewakili 4.16 peratus daripada jumlah unit dalam terbitan,” katanya.
Prolintas berkata daripada unit IPO yang tersedia untuk tawaran runcit, 18.25 juta unit akan diperuntukkan kepada pengarah dan pengurusan kanan pengurus pemegang amanah, pekerja-pekerja pengurus pemegang amanah yang layak dan syarikat di bawah Prolintas Infra BT serta mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.
“Selain itu, sebanyak 27.5 juta unit dikhaskan untuk permohonan oleh warga Malaysia melalui undian,’ katanya.
AmInvestment Bank Bhd ialah penasihat utama IPO, penyelaras utama, penyelaras bersama, penaja jamin pengurusan dan penaja jamin bersama.
“CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd adalah penyelaras bersama dan penaja jamin bersama, manakala RHB Investment Bank Bhd adalah penaja jamin bersama,” tambahnya.
— BERNAMA




