KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) — Kumpulan Kitacon Bhd memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM65.43 juta untuk membangunkan 182 unit rumah teres di Selangor Cyber Valley, Dengkil, Selangor.
Penyedia perkhidmatan pembinaan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata anak syarikat milik penuhnya Kitacon Sdn Bhd menerima surat lantikan bagi projek tersebut daripada Worldwide Holdings Bhd.
Kumpulan Kitacon berkata kontrak itu bermula pada 19 Feb, 2024, dan berakhir dalam tempoh 18 bulan daripada tarikh pembinaan bermula.
“Projek itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, sehingga tamat kontrak,” katanya.
Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan Kitacon Tan Ah Kee berkata kontrak itu merupakan yang ketiga bagi syarikat berkenaan untuk tahun ini yang menjadikan nilai keseluruhan kontrak yang diperoleh setakat tahun ini sebanyak RM111.0 juta. Nilai perolehan kontraknya kini meningkat kepada RM1.18 bilion.
“Kami memperoleh kontrak bernilai RM1.04 bilion pada 2023 dan yakin akan dapat mengekalkan momentum kami pada masa depan,” katanya.
— BERNAMA




