KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) — Syarikat produk pengguna yang berorientasikan kesihatan dan kesejahteraan, DXN Holdings Bhd bakal melebarkan sayap ke Brazil, dengan pembukaan pejabat pertamanya di Sao Paulo, Mac ini.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata kemasukan DXN ke pasaran Brazil dijangka meningkatkan lagi trajektori pertumbuhannya di rantau Amerika Latin.
DXN juga sedang dalam proses membuka satu lagi pejabat cawangan di Brazil sebagai sebahagian daripada usaha strategik bagi pengembangan operasinya di negara itu.
Pengerusi Eksekutif dan Pengasas DXN Datuk Lim Siow Jin berkata DXN optimis dengan prospek pertumbuhan Brazil, disokong populasi negara itu yang berjumlah lebih 210 juta serta peningkatan urbanisasi yang memberikan peluang kepada perniagaan pengguna seperti DXN.
“Kemasukan secara strategik kami ke Brazil adalah untuk memanfaatkan kehadiran dan kejayaan jenama DXN yang telah dicapai di negara Amerika Latin lain termasuk Mexico, Peru, Bolivia, Columbia, dan banyak lagi.
“Kami yakin dengan potensi ahli-ahli kami untuk berkembang ke Brazil. Setakat ini, DXN berjaya mendaftarkan 10 produk yang telah diluluskan bagi pasaran Brazil,” katanya.
Bagi menyokong pertumbuhan DXN di rantau Amerika Latin, kemudahan pengeluaran kedua kumpulan itu di Mexico kini telah beroperasi, bersaiz 2.8 kali ganda daripada yang pertama dan ia terlibat dalam mengeluarkan produk berasaskan kopi, makanan tambahan dan minuman.
Menurut kenyataan itu, sejak kemasukan DXN ke rantau Amerika Latin pada 2004, kumpulan itu berjaya mengukuhkan rangkaiannya dengan mempunyai seramai 3.6 juta ahli.
Jualan daripada rantau itu memainkan peranan penting dalam pertumbuhan hasil DXN, menyumbang 60 peratus daripada jumlah hasil dalam tempoh kewangan sembilan bulan berakhir 30 Nov lepas, katanya.
DXN dan anak syarikatnya (DXN Group) terlibat terutamanya dalam penjualan produk pengguna yang berorientasikan kesihatan dan kesejahteraan.
— BERNAMA