KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) — Kerugian bersih Lotte Chemical Titan Holding Bhd meningkat kepada RM780.28 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 daripada RM731.06 juta pada tahun kewangan 2022, terutamanya disebabkan kredit cukai yang lebih rendah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Lotte berkata hasil menyusut 23.7 peratus kepada RM7.65 bilion berbanding RM10.02 bilion, disebabkan purata harga jualan produk dan jumlah jualan yang rendah dalam persekitaran permintaan barangan perkilangan yang lemah.
Hasil bagi produk olefin dan derivatif merosot sebanyak 30.6 peratus daripada RM2.07 bilion pada 2022 kepada RM1.44 bilion pada 2023, menurut makluman itu.
Ia berkata hasil produk poliolefin menurun sebanyak 21.9 peratus kepada RM6.21 bilion pada 2023, terutamanya disebabkan oleh purata harga jualan produk dan volum jualan yang lebih rendah.
Bagi suku keempat tahun kewangan 2023, keuntungan bersih kumpulan mengecil kepada RM186.48 juta daripada RM333.64 juta, disokong sebaran margin yang lebih baik hasil daripada kos bahan suapan yang lebih rendah dan keuntungan pertukaran asing.
Hasil berkurangan kepada RM1.86 bilion daripada RM2.07 bilion, terutamanya disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih rendah, kerana permintaan berkurangan ekoran aktiviti ekonomi yang lebih perlahan di rantau ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Park Hyun Chul berkata pembinaan projek Etilena Baharu (LINE) Lotte Chemical Indonesia sedang berjalan mengikut jadual, yang akan menyumbang 65 peratus kepada jumlah kapasiti pengeluaran kumpulan itu sebaik siap pada 2025.
Beliau berkata projek itu membolehkan syarikatnya memanfaatkan permintaan yang dijangkakan untuk produk mereka di Indonesia, memandangkan negara itu mengimport sejumlah besar produk petrokimia.
Berikutan persekitaran luaran yang tidak menentu, kumpulan itu terus memantau dengan berhati-hati keadaan ekonomi global dan serantau, corak bekalan dan penggunaan industri petrokimia.
Namun begitu, ia kekal teguh dalam pelan pengoptimumannya dengan mengimbangi output pengeluaran dan kecekapan ekonomi sambil mengekalkan pendekatan berdisiplin untuk mengurus kos dan kewangan.
— BERNAMA




