KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — Unit milik penuh Siab Holdings Bhd, Siab (M) Sdn Bhd memperoleh surat lantikan (LOA) daripada Mahsuri Food Sdn Bhd bagi cadangan pembinaan kilang pemprosesan makanan di Seremban, Negeri Sembilan bernilai RM94.28 juta.
Kilang itu terdiri daripada satu blok bangunan empat tingkat serta satu kawasan penapaian dan satu unit bangunan peraman soya dengan kemudahan utiliti, katanya.
“Projek ini dijadualkan berjalan dalam tempoh 13 bulan dan tarikh ia dimulakan pada 14 Feb, 2024,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, dan sepanjang projek itu berjalan.
Pada 5 petang, saham Siab Holdings turun 3.85 peratus kepada 12.5 sen dengan 348,000 saham diurus niaga.
— BERNAMA