JAKARTA, 13 Jan (Bernama) — Syarikat berorientasikan pembekal runcit perkhidmatan golf terulung Malaysia, MST Golf Group Bhd bersedia melancarkan lima cawangan baharu di Indonesia, satu langkah strategik untuk mengukuhkan kedudukan serantaunya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan dan Pengarah Eksekutifnya Ng Yap berkata lokasi untuk cawangan akan datang kini sedang dinilai oleh syarikat usaha sama kumpulan itu, PT MST Golf Indonesia.
MST Golf Indonesia, usaha sama dengan nisbah kepentingan 51:49 antara MST Golf dan rakan kongsinya di Indonesia, Erajaya Active Lifestyle akan menyelia pengurusan cawangan kumpulan itu termasuk cawangan pertama yang mengeluarkan pelaburan sebanyak RM10 juta.
“Kami mempunyai rancangan untuk membuka lebih banyak cawangan bagi memenuhi peminat golf dan menarik pendatang baharu ke sukan ini,” kata Ng pada sidang media selepas majlis perasmian cawangan sulungnya hari ini.
Beliau berkata selain menekankan kepentingan pengembangan syarikat itu, pasaran di Indonesia masih belum diteroka dan pelanggan tidak perlu lagi pergi ke Singapura kerana MST sudah berada di sini untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelangganya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Erajaya Active Lifestyle Djohan Sutanto berkata pasaran peralatan dan aksesori golf di Indonesia diunjurkan melepasi US$1 bilion dengan kadar pertumbuhan melebihi lima peratus setiap tahun sehingga tahun 2028.
“Dengan lebih 140 juta Gen-Z dan milenium di Indonesia, kami melihat peluang besar untuk meneroka potensi industri golf,” katanya.
Menurut Djohan, Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia telah mengiktiraf golf sebagai sebahagian daripada program pelancongan sukan negara, dengan rancangan untuk membina 25 padang golf baharu di Tasik Toba, Borobudur, Labuan Bajo, Mandalika dan Likupang.
Indonesia kini mempunyai lebih 150 padang golf, menawarkan pengalaman bermain golf dengan pemandangan indah termasuk lokasi seperti Gunung Merapi dan Dreamland Beach di Bali.
— BERNAMA




