KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — MN Holdings Bhd telah memperoleh kontrak RM98 juta untuk reka bentuk, pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan kerja-kerja penggerudian arah mendatar voltan tinggi dan jambatan kabel bagi pusat data di wilayah selatan Malaysia.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menjelaskan kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Mutu Nusantara Sdn Bhd, oleh pelanggan yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan pusat data.
MN Holdings tidak boleh mendedahkan identiti pelanggan kerana ia enggan memberikan persetujuan bagi pendedahan disebabkan oleh perjanjian tanpa pendedahan yang telah dimeterai.
Tempoh kontrak bermula pada 1 Dis 2023 dan tarikh siap dijangka menjelang 15 Jan 2025.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih, aset bersih sesaham serta penggearan MN Holdings dan anak syarikatnya apabila dimulakan termasuk sepanjang tempoh kontrak.
— BERNAMA
 
			 
		    




