KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) — Edaran IT Services Sdn Bhd, unit milik penuh Edaran Bhd berjaya meraih kontrak teknologi maklumat (IT) daripada Kementerian Kewangan yang bernilai RM356.56 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak berkenaan akan melibatkan khidmat penyewaan perkakasan dan perisian kerangka utama sistem maklumat kastam untuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi tempoh 48 bulan.
Ia berkata Edaran IT menerima surat setuju terima bertarikh 22 Dis, 2023 yang berkaitan dengan kontrak pada 2 Jan, 2024 dengan 1 Jan, 2024 sebagai tarikh bermulanya kontrak.
“Hasil daripada kontrak ini akan menyumbang kepada pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024 sehingga 30 Jun, 2028.
“Tiada risiko yang ketara berhubung dengan kontrak ini,” katanya.
— BERNAMA