KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) — Usaha pengambilalihan Sime Darby Bhd bagi baki saham yang tidak dimilikinya dalam UMW Holdings Bhd pada RM5 sesaham adalah kini tidak bersyarat memandangkan Sime Darby telah memegang lebih daripada 50 peratus saham berkenaan.
Pada 13 Disember, Sime Darby menyelesaikan pengambilalihan 61.2 peratus kepentingan dalam UMW, menjadikan Sime Darby sebagai pemegang saham utama baharu UMW.
CIMB Investment Bank Bhd mewakili Sime Darby memberitahu Bursa Malaysia hari ini bahawa tawaran itu akan terus dibuka untuk diterima sehingga 5 petang pada 17 Jan 2024, melainkan dilanjutkan atau disemak semula.
Sime Darby berkata ia tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian UMW di Pasaran Utama Bursa Securities.
Setakat 11.47 pagi, Sime Darby menambah satu sen kepada RM2.37 dengan 2.65 juta saham diniagakan, manakala UMW menyusut satu sen kepada RM4.90 dengan 1.14 juta unit berpindah tangan.
— BERNAMA




