KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd (TM), TM Technology Services Sdn Bhd (TM Tech) dan anak syarikat Maxis Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd menandatangani perjanjian pindaan berkaitan Perjanjian Perkhidmatan Premium jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB).
Di bawah perjanjian pindaan yang dimeterai hari ini, perjanjian sedia ada kini termasuk Perjanjian Perkhidmatan Premium HSBB yang dipinda dan dinyatakan semula dengan TM Tech untuk melanjutkan perjanjian sedia ada.
“Tujuan perjanjian itu adalah untuk Maxis mendapatkan Perkhidmatan Premium HSBB daripada TM Tech, yang akan membolehkan Maxis mencapai lebih banyak pas premis untuk HSBB di seluruh negara,” menurut syarikat telekomunikasi itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut Maxis, ia akan menjadi pelanggan premium TM Tech untuk Perkhidmatan Premium HSBB dengan ciri-ciri dan fungsi yang dipertingkatkan daripada perkhidmatan akses asas HSBB.
“Tempoh perjanjian akan bermula daripada pemeteraian perjanjian sehingga 30 Jun 2029 dengan pilihan untuk melanjutkan tertakluk kepada terma dan syarat yang perlu dirundingkan dan dipersetujui bersama oleh pihak-pihak berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, menurut TM, Perkhidmatan HSBB yang disediakan oleh TM kepada Maxis mempunyai ciri-ciri dan fungsi premium berhubung dengan kategori teknikal dan operasi seperti yang dipersetujui.
“Perjanjian ini adalah pengubahsuaian daripada perjanjian sedia ada antara pihak-pihak yang berkenaan dan Perkhidmatan HSBB di bawah perjanjian ini adalah penambahbaikan kepada perkhidmatan yang sama yang kini disediakan kepada Maxis,” katanya.
TM berkata perjanjian itu menunjukkan komitmen bersama TM untuk memastikan ketersambungan yang lancar, stabil dan sentiasa aktif untuk rakyat Malaysia dan ini kekal penting sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia kerajaan.
“Sebagai penyedia telekomunikasi dan infrastruktur digital nasional dalam memacu inisiatif Digital Malaysia, TM sentiasa menjadi penyokong kuat untuk menyediakan akses kepada infrastruktur dan perkhidmatan HSBB dan perjanjian itu menjadi kesinambungan kepada pelaksanaan perkhidmatan jalur lebar oleh Maxis Broadband kepada pelanggan akhir sedia ada dan berpotensi,” katanya.
— BERNAMA




