KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) — Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini, seiring dengan prestasi pasaran serantau yang lemah, diseret turun oleh tekanan jualan dalam sektor perkhidmatan kewangan.
Maybank susut tujuh sen kepada RM8.90, Public Bank menguncup empat sen kepada RM4.28, CIMB berkurangan enam sen kepada RM5.84 dan Hong Leong Bank menyusut 16 sen kepada RM19.30.
Kaunter ini menyebabkan indeks komposit susut dengan gabungan 4.27 mata.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 7.14 mata kepada 1,457.42 berbanding 1,464.56 semasa ditutup semalam.
FBM KLCI dibuka rendah 1.39 mata kepada1,463.17 dan bergerak antara 1,457.28 dan 1,463.17 sepanjang sesi dagangan pagi ini.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 442 berbanding 259, manakala 383 kaunter tidak berubah, 1,231 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.71 bilion unit bernilai RM913.68 juta.
Peniaga ActivTrades, Anderson Alves berkata ekuiti Asia dijangka mengalami jualan besar-besaran yang ketara pada Khamis berikutan pembetulan dalam ekuiti global.
Beliau berkata pada masa hadapan, tindakan harga dijangka dipengaruhi oleh faktor teknikal dan kedudukan dagangan, terutamanya dalam konteks mudah tunai yang kecil pada musim cuti.
“Dalam keadaan mudah tunai yang semakin berkurangan berikutan kita menghampiri tempoh cuti akhir tahun, peniaga dijangka terus berwaspada di tengah-tengah keadaan pasaran jangka pendek yang tidak menentu.
“Mereka akan mencari hala tuju yang jelas dan sebarang potensi pemangkin makroekonomi atau teknikal yang mungkin kelihatan,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Sime Darby berkurangan empat sen kepada RM2.41, RHB Bank susut enam sen kepada RM5.44, manakala Petronas Chemicals naik tiga sen kepada RM7.21, Tenaga Nasional menambah dua sen kepada RM10.02 dan YTL Corporation meningkat satu sen kepada RM1.93.
Bagi saham aktif, TWL Holdings, MLABS Systems dan Leform masing-masing berkurangan setengah sen kepada empat sen, satu sen dan 41.5 sen, manakala Top Glove meningkat 2.5 sen kepada 93 sen, manakala Widad tidak berubah pada 46.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM ACE menambah 6.46 mata kepada 5,200.33, Indeks FBM 70 naik 5.43 mata kepada 14,573.34 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 0.43 mata kepada 10,997.11, manakala Indeks FBM Emas turun 33.45 mata kepada 10,825.60 dan Indeks FBMT 100 susut 33.77 mata kepada 10,493.31.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan menokok 11.32 mata kepada 7,009.87, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.04 mata kepada 171.94, manakala Indeks Tenaga menguncup 0.65 mata kepada 817.07, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 140.29 mata kepada 16,311.66 dan Indeks Perladangan menyusut 0.56 mata kepada 854.03.
— BERNAMA

