KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) — Kerugian bersih Top Glove Corporation Bhd susut kepada RM57.71 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 daripada RM168.24 juta pada suku pertama 2023.
Hasil bagi suku itu menurun kepada RM493.46 juta daripada RM632.53 juta sebelum itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia itu mengaitkan hasil yang lebih baik itu dengan operasi yang berterusan, usaha mengoptimumkan kualiti dan kos, yang membantu mengurangkan kenaikan harga bahan mentah.
“Selain itu, peningkatan dalam jumlah jualan, yang membawa kepada peningkatan penggunaan dan kecekapan, juga memberi kesan positif kepada keuntungan,” katanya.
Memandang ke hadapan, Top Glove mengekalkan pandangan jangka pertengahan hingga panjang yang positif terhadap industri sarung tangan, kerana sarung tangan merupakan item guna tunggal yang penting dalam sektor penjagaan kesihatan, perindustrian serta makanan dan minuman, yang tiada penggantian berdaya maju.
“Kumpulan juga optimis pertumbuhan permintaan sarung tangan global akan berterusan kira-kira 8.0 peratus pada masa akan datang, bersama-sama dengan penggunaan sarung tangan; didorong oleh penambahan stok simpanan sarung tangan pelanggan yang semakin berkurangan, asas industri yang teguh, serta peningkatan kesedaran kesihatan dan kebersihan selepas pandemik.
“Top Glove yang dalam usaha menuju pemulihan akan terus memberi tumpuan kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” katanya.
Kumpulan itu juga bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk memastikan ia memenuhi kewajipan baharu di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), yang akan dilaksanakan mulai 30 Dis 2024.
— BERNAMA




