KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) — Supermax Corporation Bhd, pengeluar sarung tangan pakai buang terkemuka global, telah melantik Tan Chee Keong atau CK Tan sebagai Pengarah Eksekutif Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 2 Jan 2024.
Firma itu dalam satu kenyataan turut mengumumkan struktur organisasi baharu dan pelantikan telah dibuat bagi mengukuhkan lagi pasukan pengurusan untuk menyokong pengedaran syarikat yang diperluaskan selain memantapkan tapak pembuatan masa depannya di pasaran Amerika Syarikat (AS) serta komitmennya dalam menyampaikan kecemerlangan produk kepada pelanggan global.
Tan telah berkhidmat dengan Kumpulan Supermax sejak 2000. Beliau pada mulanya berkhidmat sebagai Naib Presiden Aurelia Gloves, bahagian Supermax Healthcare Inc, dan kemudiannya sebagai CEO Supermax Healthcare.
Tan mempunyai pengalaman melangkaui 20 tahun dalam pasaran sarung tangan penjagaan kesihatan di AS dan bertanggungjawab untuk melaksanakan pertumbuhan serta pembangunan jangka panjang syarikat termasuk perancangan strategik serta pelaksanaan inisiatif pemasaran global syarikat di Brazil, Kanada, Hong Kong, Singapura , United Kingdom dan AS.
Tan akan terus menjadi CEO Supermax Healthcare Inc dan Maxter Healthcare Inc di AS.
“Dalam peranan baharunya, Tan akan menerajui pelan strategik syarikat serta pertumbuhan perniagaan global apabila syarikat itu menyusun semula secara dalaman untuk memastikan kecekapan yang lebih tinggi dipenuhi bagi fasa aktiviti pembuatannya yang seterusnya, termasuk operasi di AS,” katanya.
Sementara itu, Tan Bow Kok atau BK Tan, yang telah berkhidmat dengan Kumpulan Supermax sejak 1999, akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) dan akan menyelia operasi pembuatan Kumpulan Supermax, beliau akan dibantu oleh timbalan COO baharu.
Kumpulan itu juga akan mempunyai ketua pegawai jaminan kualiti dan hal ehwal kawal selia yang baharu bagi memastikan jaminan kualiti dan operasi pembuatan global disinergikan untuk usaha pemasaran yang lebih lancar pada masa hadapan.
— BERNAMA