KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — Sapura Energy Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM30.89 juta pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2023 berbanding RM10.18 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, hasil merosot kepada RM1.10 bilion daripada RM1.27 bilion sebelum ini disebabkan oleh hasil yang lebih rendah yang diiktiraf daripada segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C), katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul, keuntungan bersih syarikat melonjak kepada RM219.78 juta daripada RM99.3 juta tahun lepas manakala hasil susut kepada RM3.20 bilion daripada RM3.33 bilion sebelumnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Anuar Taib dalam satu kenyataan berasingan berkata beliau yakin dengan prospek pertumbuhan Sapura Energy, sejajar dengan strateginya untuk mengimbangi semula portfolio globalnya dan menggunakan aset utama ke rantau yang berdaya saing.
“Untuk memanfaatkan peluang merentasi semua segmen perniagaan, kami membida projek utama di rantau Afrika, Mediterranean, Atlantik dan Asia Pasifik.
“Perkongsian yang dipercayai dengan pelanggan dan rakan setara telah membantu Sapura Energy mengharungi cabaran berkaitan kecairan yang terhad, membolehkan kami mendapat lebih banyak kerja,” katanya.
Dalam pada itu, melangkah ke depan, syarikat itu meneruskan rancangan penstrukturannya merangkumi usaha untuk menyelesaikan tahap hutangnya yang tidak mampan dan jumlah hutang kepada pemiutang perdagangan.
Sapura Energy telah menerima pengesahan daripada Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat (CDRC) bahawa sekurang-kurangnya 75 peratus daripada pembiaya kira-kira RM10.3 bilion dalam Kemudahan Pembiayaan Pelbagai Mata Wang (Pembiaya MCF) telah menyediakan kelulusan dalam prinsip yang diperlukan untuk skim penstrukturan semula (PRS) hutang yang dicadangkan.
Kelulusan itu pada dasarnya akan memudahkan mesyuarat yang diadakan oleh mahkamah dengan semua pemiutangnya, menurut kenyataan itu.
“Pencapaian penting ini akan membolehkan kami membangunkan pelan penstrukturan semula dan menangani status Sapura Energy sebagai sebuah syarikat di bawah Nota Amalan 17 (PN17).
“Lebih penting lagi, akhirnya, ia akan membantu kami menawarkan penyelesaian yang adil dan saksama kepada pemiutang Sapura Energy termasuk ramai vendor kecil dan sederhana Malaysia,” kata Mohd Anuar.
— BERNAMA




