KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — Rakuten Trade Sdn Bhd menjangkakan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) Bursa Malaysia berlegar sekitar paras 1,590 berdasarkan penilaian semasa bagi unjuran 2024 selain menguji tahap 1,650 berdasarkan nisbah harga pendapatan (PER) pasaran sebanyak 16.0 kali.
Ketua Penyelidikan Kenny Yee berkata FBM KLCI bergerak dalam aliran 15 kali PER atau kira-kira 10-15 peratus di bawah paras purata terdahulu.
“Di sebalik prestasi Asia yang kurang memberangsangkan, kami yakin pelabur asing akan kembali ke Asia. Selain daripada tindakan China yang lebih berdiam mengenai usaha pemulihan ekonomi selain konflik yang berlanjutan, kita juga berkemungkinan terpaksa mengharungi pro dan kontra Amerika Syarikat mengenai inflasi atau kemelesetan,” katanya pada sesi taklimat media secara maya mengenai Prospek Pasaran Akhir Tahun Malaysia di sini, hari ini.
Yee juga menyifatkan adalah wajar untuk melihat sama ada Wall Street telah mengatasi asas serta jangkaannya yang boleh mewujudkan lebih banyak dana untuk dipelbagaikan.
Beliau mengunjurkan FBM KLCI mencecah paras 1,510 menjelang akhir tahun berdasarkan 16.0 kali PER daripada sasaran awal 1,560 berikutan penyusutan unjuran pendapatan.
Malah, katanya, walaupun prestasi di peringkat domestik adalah rendah, masih terdapat beberapa pembelian konsisten terhadap saham-saham bermodal kecil yang menyumbang kepada prestasi indeks yang lebih baik.
Menyentuh penyertaan runcit, beliau berkata sejumlah besar tawaran awam permulaan (IPO) mungkin memberi kesan terhadap aspek itu pada akhir tahun dan 2023 menyaksikan kira-kira 30 IPO yang meraih RM3.5 bilion.
“Bagaimanapun, memandangkan lebih banyak wang disalurkan kepada saham-saham mewah, kami menjangkakan limpahan daripadanya akan turut melibatkan saham-saham bermodal kecik seperti yang berlaku sekarang,” katanya.
Bagi prestasi ringgit, beliau berkata mata wang tempatan itu dijangka menguji paras RM4.40/50 jika trend pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat meredakan isu kenaikan kadar faedah, berlaku seiringan dengan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) secara ketara ke negara ini.
“Ringgit sebenarnya telah mengukuh daripada paras RM4.80 berbanding dolar AS, namun kini tepu akibat kekurangan pemangkin baharu dan aliran masuk dana ke dalam negara.
“Namun, jangkaan peningkatan FDI pada tahun depan mungkin akan menyaksikan ringgit melepasi paras semasa RM4.67 menjelang suku pertama tahun depan,” katanya yang turut menjangkakan trend sama akan turut dicatatkan oleh mata wang serantau.
Beliau juga menyifatkan pergerakan ringgit serta FBM KLCI tidak akan dipengaruhi oleh pengumuman rombakan Jemaah Menteri yang masih terlalu awal untuk dinilai.
Sebaliknya, apa yang lebih lebih ketara adalah aliran masuk FDI yang boleh mempengaruhi pergerakan ringgit serta indeks berkenaan.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng pula menjangkakan kaunter atau saham automotif, perbankan, pembinaan, syarikat berkaitan pelancongan, utiliti dan teknologi akan lebih menyerlah pada tahun depan.
“Pendapatan pula diunjur tumbuh 10 peratus daripada 9.5 peratus sebelum ini dengan peningkatan dicatatkan oleh saham perladangan,” katanya.
— BERNAMA