KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) — CPE Technology Bhd membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini pada 90 sen, dengan diskaun 17 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.07.
Pada loceng pembukaan, pembekal perkhidmatan sokongan kejuruteraan dalam pembuatan bahagian dan komponen mesin ketepatan serta penyediaan perkhidmatan pemesinan kawalan berangka komputer (CNC) itu menyaksikan 6.31 juta saham diniagakan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif CPE Technology Lee Chen Yeong berkata hasil IPO akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan baharu serta menempatkan semula yang sedia ada.
“Sebahagian daripada hasil juga akan diperuntukkan bagi pembelian bahan mentah untuk disimpan bagi memastikan bekalan berterusan.
“Dengan pelaburan ini, kami berharap akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menguasai bahagian pasaran yang lebih besar, terutamanya dengan unjuran pertumbuhan industri sokongan kejuruteraan di Malaysia dalam beberapa tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas penyenaraian kumpulan itu di sini hari ini.
CPE Technology memperoleh RM179.58 juta hasil daripada IPO melalui penerbitan 167.83 juta saham biasa baharu dengan kadar terlebih langganan sebanyak 17.69 kali.
Lee menambah CPE Technology merancang untuk membeli tanah di Ulu Tiram, Johor untuk membina kilang baharu, dengan peruntukan IPO sebanyak RM69.60 juta untuk projek itu.
Kilang baharu itu, dengan keluasan binaan 236,948 kaki persegi, akan digunakan untuk aktiviti pembuatan kumpulan itu, katanya.
Buku pesanan syarikat setakat 23 Okt 2023 berjumlah RM69.27 juta, kata Lee.
Memetik laporan firma penyelidikan pasaran bebas Protégé Associates Sdn Bhd, Lee berkata industri sokongan kejuruteraan di Malaysia dijangka meningkat kepada RM9.98 bilion pada 2023 daripada RM9.37 bilion pada 2022.
“(Industri di Malaysia) akan terus berkembang kepada RM13.88 bilion pada 2027 pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 8.2 peratus dengan pertumbuhan dijangka dipacu oleh kemajuan teknologi dan dalam pengembangan pasaran pengguna akhir,” tambahnya.
— BERNAMA




