JOHOR BAHRU, 5 Dis (Bernama) — Haily Group Bhd memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM64 juta daripada Meridin East Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Mah Sing Group Bhd.
Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily Group See Tin Hai berkata kontrak diterima menerusi anak syarikatnya, Haily Construction Sdn Bhd bagi pembinaan 327 unit kediaman dan dua pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan perbandaran Meridin East, di sini.
“Kontrak ini merupakan antara projek terbesar Haily setakat ini, dan projek utama kelima yang diraih oleh kumpulan tahun ini, menjadikan jumlah nilai kontrak projek sebanyak RM697.51 juta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Meridin East merupakan pembangunan perbandaran campuran terbesar di Mah Sing, dengan jumlah keluasan tanah 530.5 hektar.
See berkata, pihaknya berbesar hati meraih satu lagi kontrak daripada Mah Sing Group yang merupakan salah satu pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.
Kejayaan memperoleh kontrak itu juga menunjukkan Haily terus mendapat kepercayaan terutama dalam keupayaan memberikan perkhidmatan cemerlang dan mengekalkan standard mutu kerja yang tinggi, katanya.
“Dengan ini, saya percaya kami berada di kedudukan selesa untuk meneruskan kebangkitan aktiviti dalam sektor pembangunan hartanah Johor,” katanya.
Sementara itu See berkata, kejayaan Johor meraih pelaburan besar dalam sektor minyak dan gas, pusat data dan projek pembuatan, merupakan petanda baik bagi ekonomi negeri itu sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan hartanah dan aktiviti pembinaan.
— BERNAMA




