KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih pemaju hartanah SP Setia Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 merosot kepada RM51.82 juta daripada RM70.19 juta sebelumnya.
Perolehan melonjak 25 peratus kepada RM1.08 bilion daripada RM860.94 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu disebabkan pemulihan dalam pasaran hartanah Malaysia.
“Sepanjang suku ketiga tahun kewangan 2023, SP Setia melancarkan pelbagai projek termasuk hartanah bertanah bernilai RM498.7 juta di wilayah tengah dan selatan serta unit runcit dan pejabat komersial dua tingkat di Hab Perniagaan Pusat Bandar Setia Fontaines di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Kadar pengambilan pembangunan baharu ini menggalakkan dengan kadar penghunian sebanyak 97 peratus di kediaman bertanah baharu Bandar Kinrara dan kira-kira 60 peratus unit dijual di perbandaran seperti Setia Bayuemas dan Setia Fontaines,” katanya.
Sementara itu dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, SP Setia Bhd berkata unit milik penuhnya Bandar Setia Alam Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian dengan anak syarikat KSL Holdings Bhd, KSL Bestari Sdn Bhd untuk melupuskan 7.28 hektar (18 ekar) di Bukit Raja, Petaling pada harga RM228. 80 juta.
SP Setia berkata cadangan pelupusan itu disasarkan untuk mempercepatkan Setia City sebagai hab komersial bersepadu sepenuhnya dan meningkatkan nilai baki tanah yang belum dibangunkan dalam perbandaran itu.
“Ia seterusnya akan mencipta peluang pekerjaan dan mencergaskan aktiviti komersial perbandaran berkenaan yang secara langsung akan meningkatkan prospek jualan kumpulan di Setia Alam dan Setia Eco Park, mengukuhkan komitmennya terhadap pertumbuhan dan pembangunan mampan,” katanya.
SP Setia berkata cadangan pelupusan itu adalah seiring dengan rancangan kumpulan berkenaan untuk meningkatkan kecekapan modal dengan memanfaatkan simpanan tanah khususnya yang tidak dirancang untuk pembangunan pada kadar segera, ia akan menyumbang secara positif kepada pendapatan.
Hasilnya dijangka akan digunakan untuk membiayai projek baharu yang dikenal pasti untuk pelancaran dengan segera bertujuan mengurangkan hutang atau kegunaan lain.
Sementara itu, KSL Holdings Bhd berkata cadangan pengambilalihan itu akan meluaskan simpanan tanahnya untuk meningkatkan hasil dan pendapatan masa depan.
“Projek ini dijangka melibatkan kira-kira 2,600 unit kediaman. Dijangka bermula pada tahun 2025, ia dijangka mengambil masa antara 10 dan 15 tahun dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM2.2 bilion,” katanya.
Simpanan tanah kumpulan KSL akan berkeluasan kira-kira 1,052.18 hektar (2,600 ekar) di Johor dan Kuala Lumpur, Klang dan Selangor selepas proses pengambilalihan itu dengan kira-kira 50 peratus pada pelbagai peringkat kelulusan dan kira-kira 25 peratus di bawah pelbagai peringkat pembangunan.
— BERNAMA