KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Sunway Bhd meningkat 8.75 peratus kepada RM180.30 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2023 berbanding RM165.78 juta yang dicatatkan dalam tahun sebelumnya.
Pendapatan melonjak kepada RM1.54 bilion daripada RM1.27 bilion, didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen perniagaan teras, kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Presiden Sunway Group, Tan Sri Chew Chee Kin berkata prestasi kewangannya yang kukuh dalam suku ketiga mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia dan beliau optimis bahawa tahun kewangan 2023 akan memuaskan .
“Segmen penjagaan kesihatan kumpulan terus menjadi pemacu pertumbuhan utamanya, disokong oleh pertumbuhan kukuh di tiga hospital sedia ada.
“Khususnya, Pusat Perubatan Sunway Damansara serta Pusat Perubatan Sunway Ipoh, yang akan dilancarkan masing-masing pada suku keempat 2024 dan suku pertama 2025, akan menyediakan pertumbuhan pendapatan masa hadapan. Di samping itu, segmen riadah, hospitaliti termasuk penjagaan kesihatan akan mendapat manfaat daripada beberapa inisiatif utama yang diumumkan semasa Belanjawan 2024,” katanya.
Chew menambah dalam jangka panjang, penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura akan menyokong Sunway City Iskandar Puteri, pembangunan perbandaran utama kumpulan yang terletak di antara Puteri Harbour dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
“Zon ekonomi khas ini memanfaatkan kekuatan kedua-dua negara untuk memupuk aliran rentas sempadan membabitkan barangan, pelaburan dan rakyat,” tambahnya.
— BERNAMA




