KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Sunway Construction Group Bhd (SunCon) meningkat 54.1 peratus kepada RM35.01 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2023 daripada RM22.72 juta setahun lepas.
Hasil melonjak 43.5 peratus kepada RM673.51 juta berbanding RM469.25 juta sebelumnya, disokong oleh hasil lebih tinggi yang disumbangkan kedua-dua oleh segmen pembinaan dan pratuang, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
SunCon berkata hasil daripada pembinaan meningkat 40.9 peratus tahun ke tahun kepada RM590.5 juta pada suku dalam tinjauan, dipacu oleh sumbangan yang meningkat daripada projek tenaga mampan dan pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada projek baharu yang sedang berjalan.
Sementara itu, bahagian pratuang merekodkan peningkatan hasil sebanyak 65 peratus kepada RM83 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada Hab Pembinaan Bersepadu Berteknologi Tinggi (ICPH) dan beberapa projek terbaharu.
Pengarah Urusan Kumpulan Liew Kok Wing berkata SunCon telah melepasi sasaran nilai perolehan kontrak baharu tahun kewangan 2023 sebanyak RM2 bilion, memperoleh RM2.23 bilion dalam tempahan baharu bagi tempoh sembilan bulan 2023.
Untuk tempoh sembilan bulan ini, keuntungan bersih meningkat kepada RM95.84 juta daripada RM89.54 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya manakala hasil meningkat kepada RM1.80 bilion daripada RM1.65 bilion sebelumnya.
“Di bahagian antarabangsa, salah satu projek infrastruktur kumpulan di India, projek Lebuhraya Meensurutti-Chidambaram, dijangka beroperasi pada Disember 2023.
“Sementara itu, produktiviti kemudahan ICPH di Singapura telah bertambah baik sejak pelancaran rasminya pada Julai 2023,” katanya.
Bagi perkembangan masa hadapan, kumpulan itu berkata ia optimistik dengan berhati-hati untuk mencatat pertumbuhan positif bagi tahun kewangan 2023 disokong oleh nilai perolehan kontrak terkumpul sedia ada sebanyak RM5.8 bilion.
— BERNAMA
TAG: SunCon, keputusan, ICPH, nilai perolehan kontrak, Lebuhraya Meensurutti-Chidambaram, Singapura, pembinaan




