KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Kerjaya Prospek Group Bhd naik kepada RM35.57 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2023 berbanding RM28.81 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Perolehan berkembang kepada RM362.23 juta daripada RM259.40 juta disebabkan kemajuan yang lebih baik dalam aktiviti kerja pembinaan.
“Dalam segmen pembangunan hartanah, projek The Vue @ Monterez di Shah Alam telah menyumbang secara positif kepada keputusan kumpulan,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Pengerusi bukan eksekutif bukan bebas Datuk Tee Eng Ho berkata kunci kira-kira kumpulan kekal sihat dengan tunai bersih RM204.2 juta serta nisbah semasa 3.8 kali pada 30 Sept 2023.
Syarikat pembinaan itu telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat ketiga sebanyak 2.0 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, yang akan dibayar menjelang 12 Jan 2024, dengan jumlah dividen diisytiharkan setakat ini untuk tahun kewangan semasa pada 6.0 sen sesaham.
Tee juga berkata kumpulan itu menyasarkan untuk mencapai sejumlah RM1.5 bilion dalam perolehan kontrak pada tahun depan dan optimis mampu melepasi sasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek Tee Eng Tiong ketika mengulas lanjut mengenai prestasi kumpulan memberitahu kumpulan itu mempunyai keyakinan terhadap keupayaan, rekod prestasi serta kepakarannya dalam terus melaksanakan projek yang sedang berjalan dan akhirnya akan melonjakkan margin serta pendapatan walaupun berhadapan dengan cabaran kecil akibat kenaikan harga simen.
Dari tahun hingga tarikh, KPBG telah mencapai nilai penambahan kontrak sebanyak RM1.6 bilion, termasuk kejayaan terbaharu bernilai RM104.7 juta yang dipeoleh daripada Persada Mentari Sdn Bhd bagi pembangunan rumah berkembar dan teres di Pulau Pinang.
“Mengenai cabang pembangunan hartanah kami, kami akan melancarkan projek pembangunan baharu, Papyrus @ North Kiara menjelang suku pertama 2024, yang akan terus menyumbang secara positif kepada kumpulan,” katanya semasa taklimat keputusan kewangan suku ketika 2023 hari ini.
Nilai tempahan dalam tangan tertunggak semasa kumpulan itu berada pada RM4.7 bilion setakat September 2023.
“Dengan peningkatan sektor pembinaan dalam negeri yang disokong oleh perbelanjaan fiskal kerajaan yang mengembang termasuk kemajuan selanjutnya dalam projek sektor swasta, kami optimis dengan berhati-hati bahawa Kerjaya berkemungkinan memperoleh lebih banyak peluang pembinaan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau menambah kestabilan politik selepas pilihan raya negeri mungkin menarik lebih banyak pelaburan langsung asing yang boleh diterjemahkan kepada lebih banyak peluang pekerjaan pembinaan.
— BERNAMA




