KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) — UEM Sunrise Bhd, melalui tiga anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, telah menjual 46.9 hektar tanah pegangan bebas di Johor Bahru kepada Paragon Globe Bhd pada harga RM146.1 juta.
Pemaju hartanah itu berkata anak syarikat itu adalah Nusajaya Rise Sdn Bhd, Symphony Hills Sdn Bhd dan Nusajaya Heights Sdn Bhd, secara kolektif memeterai lapan perjanjian jual beli (SPA) dengan unit milik penuh Paragon Globe iaitu PGB Landmark Sdn Bhd hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah melalui satu kenyataan berkata tumpuan segera syarikat itu di Johor adalah mengaktifkan lebih banyak projek pembangunan kediaman.
“Penjualan ini akan membolehkan kami mengewangkan beberapa bank tanah kami di Johor sambil memanfaatkan aktiviti ekonomi yang akan diwujudkan daripada cadangan pembangunan perindustrian oleh PGB Landmark untuk meningkatkan permintaan bagi pembangunan kediaman yang dirancang di sekitar kawasan tanah itu, ” katanya.
UEM Sunrise berkata Nusajaya Rise dan Symphony Hills secara kolektif telah menandatangani lima SPA dengan Landmark PGB bagi pelupusan seluas 19.52 hektar di Tanjung Kupang.
Nusajaya Rise turut memeterai dua SPA dengan PGB Landmark untuk melupuskan 26.42 hektar di Tanjung Kupang.
Sementara itu, Nusajaya Heights telah menandatangani perjanjian dengan PGB Landmark untuk pelupusan tanah berkeluasan 0.96 hektar di Pulai.
UEM Sunrise berkata, penjualan tanah itu adalah selaras dengan pelan pemulihan strategik tiga fasanya iaitu “triage, stabilize and sustain” terutama di bawah fasa pertama, ia akan mengubah syarikat menjadi pemain hartanah yang seimbang dengan matlamat segera untuk mengukuhkan prestasi kewangan melalui, antaranya, pengewangan tanah bukan strategik.
— BERNAMA