KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) — CelcomDigi Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM455.72 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2023 berbanding RM264.48 juta pada suku yang sama tahun lepas didorong oleh pengurusan kos yang lebih baik dan hasil perkhidmatan yang lebih tinggi.
Hasil meningkat dua kali kepada RM3.1 bilion pada suku tersebut daripada RM1.53 bilion sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pengendali rangkaian mudah alih terbesar negara itu dalam satu kenyataan berasingan berkata hasil perkhidmatan kumpulan itu untuk suku ketiga 2023 meningkat sebanyak RM4 juta kepada RM2.71 bilion, didorong oleh pengembangan asas pelanggan kepada 20.6 juta.
Jumlah kos untuk suku ketiga 2023 merosot 4.5 peratus, atau RM72 juta, berikutan penyeliaan yang rendah, kos berkaitan kakitangan dan rangkaian, serta perbelanjaan jualan dan pemasaran.
“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sebanyak RM105 juta kepada RM1.57 bilion.
“Keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai masing-masing lebih rendah sebanyak 17.0 peratus dan 3.8 peratus, dipengaruhi oleh susut nilai yang dipercepatkan bermula dari suku keempat 2022 berikutan semakan semula jangka hayat aset dan rasionalisasi tapak di bawah pelan penyepaduan rangkaian,” kata makluman itu.
Dalam tempoh sembilan bulan, untung bersih melonjak kepada RM1.12 bilion berbanding RM720.67 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil melonjak kepada RM9.41 bilion berbanding RM4.59 bilion dalam tempoh sembilan bulan setahun lepas.
Syarikat telekomunikasi itu mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 3.3 sen sesaham, berjumlah RM387 juta.
— BERNAMA




