KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Kossan Rubber Industries Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2023 (S3 2023) meningkat kepada RM40.97 juta daripada RM23.26 juta pada suku yang sama tahun lepas disebabkan keuntungan yang lebih tinggi daripada bahagian sarung tangan dan produk getah teknikal (TRP).
Hasil, bagaimanapun merosot kepada RM403.48 juta daripada RM560.52 juta disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada semua bahagian, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kossan berkata bahagian sarung tangan merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM31.21 juta pada S3 2023 berbanding RM1.00 juta pada suku yang sama tahun lalu berikutan pengurusan kawalan kos yang lebih baik dan kos bahan mentah yang lebih rendah pada suku dalam tinjauan.
“PBT bagi TRP meningkat 94.7 peratus kepada RM10.98 juta pada S3 2023 berbanding RM5.64 juta pada S3 2022 disebabkan oleh margin produk infrastruktur yang lebih tinggi,” katanya.
Kossan berkata bagi sembilan bulan kumulatif 2023, keuntungan bersih kumpulan merosot kepada RM13.42 juta daripada RM159.36 juta tahun lepas, manakala hasil susut kepada RM1.19 bilion daripada RM1.83 bilion sebelumnya disebabkan penurunan hasil daripada semua bahagian.
Kumpulan itu berkata bahagian TRP dijangka mencapai prestasi yang memuaskan pada tahun kewangan 2023, didorong oleh jangkaan peningkatan beransur-ansur dalam aktiviti ekonomi global dan perbelanjaan infrastruktur, khususnya yang memanfaatkan segmen infrastruktur dan automotif.
Sementara itu, Kossan berkata walaupun terdapat tanda-tanda kestabilan, ketidakseimbangan bekalan-permintaan yang berterusan terus menjejaskan sektor sarung tangan, dan dijangkakan persekitaran operasi yang mencabar ini berterusan sepanjang baki suku tahun 2023.
“Walaupun menghadapi cabaran dalam pasaran semasa, tinjauan jangka panjang untuk permintaan sarung tangan kekal positif, didorong oleh standard yang semakin ketat dan kesedaran yang tinggi terhadap kebersihan dalam sektor perubatan dan perindustrian,” katanya.
— BERNAMA