KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Amway (Malaysia) Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2023 meningkat kepada RM46.21 juta daripada RM18.75 juta yang dicatatkan suku yang sama tahun kewangan 2022.
Bagaimanapun, perolehan bagi suku yang dinilai susut kepada RM333.47 juta daripada RM371.79 juta bagi tempoh yang sama.
“Perolehan syarikat bagi suku ini turun sebanyak 10.3 peratus disebabkan permintaan lembap dalam produk kesihatan dan kesejahteraan serta peralatan rumah,” menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu.
Dalam tempoh sembilan bulan 2023, keuntungan bersih meningkat kepada RM83.52 juta daripada RM53.90 juta yang dicatatkan dalam masa sembilan bulan 2022 manakala perolehan susut kepada RM1.05 bilion daripada RM1.12 bilion.
Menurut Amway pihaknya mencatatkan penurunan perolehan pada sembilan bulan 2023 berbanding tempoh yang sama 2022 berikutan tekanan inflasi yang berterusan sekali gus memberi kesan ketara terhadap sentimen pengguna dan kapasiti perbelanjaan, serta peralihan corak perbelanjaan pengguna selepas pandemik COVID-19.
“Bagaimanapun, syarikat menjangkakan peningkatan keuntungan bagi setahun penuh 2023 namun kenaikan ini dijangka menjadi kurang ketara apabila dibandingkan angka bagi tempoh sembilan bulan,” jelasnya.
Dalam kenyataan berasingan, Amway memaklumkan syarikat telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat ketiga sebanyak lima sen bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023.
“Dividen interim satu peringkat ketiga akan dibayar pada 15 Dis, 2023 kepada pemegang saham yang namanya tercatat dalam rekod pendeposit pada 1 Dis, 2023,” tambahnya.
— BERNAMA
TAG: Amway, prestasi, kewangan, suku ketiga, 2023, Bursa Malaysia




