KUALA LUMPUR, 15 Nov Bernama) — Keuntungan bersih Berjaya Food Bhd (BFood) bagi suku pertama tahun kewangan 2024 berakhir 30 September 2023 merosot kepada RM19.03 juta daripada RM34.70 juta yang dicatatkan pada suku pertama tahun kewangan 2023.
Hasil susut kepada RM278.53 juta daripada RM283.05 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
BFood berkata penurunan kecil dalam hasil itu kebanyakannya disebabkan oleh jualan lebih rendah direkodkan oleh operasi Kenny Rogers Roasters di Malaysia, manakala keuntungan bersih yang lebih rendah adalah disebabkan pemampatan margin daripada tekanan kos inflasi.
Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen saham interim pertama bagi satu saham perbendaharaan bagi setiap 100 saham biasa yang dipegang bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.
“Dividen saham interim pertama adalah bersamaan dengan 0.44 sen sesaham berdasarkan saham biasa sedia ada syarikat dan jumlah dividen yang diisytiharkan untuk tempoh kewangan berakhir 30 September 2023 akan berjumlah kira-kira RM7.72 juta yang akan dikreditkan pada 29 Disember 2023.
“Tarikh kelayakan telah ditetapkan pada 14 Disember 2023,” katanya.
Lembaga Pengarah menjangkakan semua syarikat beroperasi dalam kumpulan itu kekal pada landasan betul untuk baki suku tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.
— BERNAMA