KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Reservoir Link Energy Bhd, Reservoir Link Renewable Sdn Bhd telah memeterai perjanjian penjualan saham untuk cadangan pengambilalihan 100 peratus kepentingan dalam SAG Renewables Sdn Bhd (SAGR) daripada SAG Green Tech Sdn Bhd.
Reservoir Link dalam satu kenyataan hari ini berkata pembelian SAGR pada harga RM10.5 juta itu terdiri daripada RM4.5 juta untuk saham jualan dan RM6.0 juta untuk jaminan korporat yang akan diberikan selepas pemindahan saham jualan itu selesai.
Cadangan pengambilalihan berkenaan akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank, katanya.
Timbalan Pengerusi Eksekutif Reservoir Link Thien Chiet Chai berkata syarikat itu telah menetapkan sasaran dalaman sebanyak 100 megawatt puncak (MWp) dalam aset tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2025 seiring dengan agenda negara yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Setakat ini, Reservoir Link mempunyai jumlah kapasiti sebanyak 33.31 MWp. Kami yakin syarikat berada pada landasan betul dan akan terus meneroka peluang lain secara aktif untuk mengembangkan lagi ruang tenaga boleh diperbaharui melangkaui tenaga solar untuk memenuhi permintaan bagi segmen ini memandangkan penerimaan dan pertumbuhan yang dipercepatkan,” katanya.
Reservoir Link dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata cadangan pembelian itu dijangka menyumbang secara positif terhadap perolehan dan pendapatan sesahamnya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan tempoh seterusnya.
Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku pertama 2024, katanya.
Reservoir Link berkata pengambilalihan selepas selesai akan menyediakan syarikat itu dengan aliran pendapatan berulang tambahan dan keterlihatan pendapatan lebih baik berikutan kepelbagaian kepada pemilikan aset tenaga boleh diperbaharui.
Pembelian SAGR akan meningkatkan portfolio aset tenaga boleh diperbaharui Reservoir Link dengan tambahan 13 aset fotovoltaik solar, katanya.
— BERNAMA




