KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Maxis Bhd pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2023 merosot kepada RM287 juta daripada RM308 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas.
Bagaimanapun, pendapatan meningkat 1.5 peratus atau RM37 juta kepada RM2.44 bilion daripada RM2.41 bilion sebelum ini berdasarkan pertumbuhan pendapatan perkhidmatan sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun kepada RM2.15 bilion.
“Pertumbuhan pendapatan perkhidmatan yang baik itu disumbangkan oleh pertumbuhan perniagaan pengguna sebanyak 2.6 peratus, yang diimbangi oleh penguncupan dalam perniagaan perusahaan sebanyak 1.8 peratus.
“Pendapatan perusahaan asas, tidak termasuk ‘wholesale voice’ yang tidak diteruskan pada suku keempat 2022, naik 6.4 peratus berdasarkan perniagaan borong dan kesalinghubungan teras,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut syarikat itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan pada suku ketiga 2023 juga lebih rendah berbanding pada suku ketiga 2022, “sebahagian besarnya disebabkan olehckesan daripada pelaksanaan rasionalisasi kos dan geran kerajaan yang lebih rendah selaras dengan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat yang rendah dipenuhi pada tahun 2023.”
“Perbelanjaan modal (capex) pada suku ketiga 2023 berkurangan kepada RM215 juta berikutan kapasiti rangkaian yang stabil, selepas langkah penamatan 3G yang selesai pada awal 2022,” katanya.
Menurut Maxis, ia akan terus memperluas kedudukan pasarannya melalui penawaran produk yang dipertingkatkan, strategi pengedaran saluran yang berkesan dan tumpuan yang kukuh kepada perkhidmatan pelanggan yang cemerlang.
“Maxis akan terus memainkan peranan yang aktif dalam mempromosikan penggunaan 5G oleh pengguna dan perusahaan, sejajar dengan matlamat digital negara,” katanya.
Dalam kenyataan media secara berasingan hari ini, Maxis berkata berdasarkan pelaksanaan 5G baru-baru ini dan perkembangan berkaitan fiber, ia merancang untuk menguruskan capex dengan teliti serta meningkatkan asas pelanggan dan penawaran perkhidmatannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata keutamaan ialah “memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi.”
Syarikat mengumumkan interim empat sen sesaham pada suku tahun tersebut.
— BERNAMA