KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) — Ibraco Bhd dijangka menubuhkan syarikat usaha sama dengan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CRECM) dan Nanyang Tunnel Engineering Sdn Bhd (NYTE) selepas memperoleh projek berkaitan dengan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Ibraco Construction Sdn Bhd (ICSB) selaku anak syarikat milik penuh Ibraco Bhd telah bekerjasama dengan CRECM dan NYTE (secara kolektif dirujuk sebagai ICSB-CRECM-NYTE) untuk menyertai tender terbuka oleh Sarawak Metro Sdn Bhd (SMSB).
CRECM adalah anak syarikat milik penuh China Railway Group Ltd, perusahaan milik kerajaan China, manakala NYTE adalah anak syarikat milik penuh CRECM.
SMSB adalah pelaksana projek KUTS yang bermatlamat untuk mengubah Kuching sebagai bandar yang dinamik dan berdaya saing dengan menyediakan perkhidmatan mobiliti mesra pengguna melibatkan kawasan Greater Kuching dengan pengenalan Transit Aliran Autonomi.
“SMSB mengiklankan tender itu pada 25 Julai 2023 untuk membina dan menyiapkan kerja infrastruktur bagi Pakej 1 (Laluan Biru) dari Rembus ke Stutong bagi Projek KUTS, dan ICSB-CRECM-NYTE telah menerima surat tawaran daripada SMSB bagi projek itu hari ini,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Berikutan tawaran kontrak itu, ICSB, CRECM, dan NYTE akan menubuhkan syarikat usaha sama untuk melaksanakan projek berkenaan.
“Penubuhan syarikat baharu ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Ibraco berkata projek itu dijangka siap pada 31 Dis 2025 bagi Peringkat 1, manakala Peringkat 1A pada 30 Jun 2026.
Mengenai sumber dana, Ibraco berkata projek itu akan dibiayai menerusi penjanaan dana dalaman dan pinjaman luaran syarikat.
“Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Ibraco sepanjang tempoh projek dan tidak akan memberi sebarang kesan kepada modal saham dan pemegangan saham pemegang saham besar dalam Ibraco Group,” katanya.
— BERNAMA




